BIBI RAMJANI IIIAS KHAN
Oleh Attirmidzie Rahman


KOTA BHARU: Presiden Persatuan Bolasepak Kelantan (KAFA), Bibi Ramjani Ilias Khan menegaskan beliau tidak akan tunduk dengan sebarang gesaan daripada individu tertentu yang memintanya berundur daripada badan induk itu.

Usahawan wanita itu turut mendakwa gesaan dibuat selepas KAFA berjaya menyelesaikan banyak hutang yang ditinggalkan pentadbiran sebelum ini.

Katanya, gesaan itu kini kian memuncak ketika beliau sedang berusaha menyelesaikan beberapa lagi baki hutang membabitkan bekas pemain import dengan nilaian ratusan ribu ringgit.

“Saya ada dengar mengenai desakan dan gesaan ini disengajakan oleh individu tertentu dan mereka cuba untuk mempengaruhi Persatuan Bolasepak Jajahan (PBJ) supaya mendesak KAFA untuk membuat Mesyuarat Agung Luar Biasa (EGM).

“Mereka mendakwa kepemimpinan baharu ini tidak berjaya dalam membentuk pasukan. Kalau dilihat semula musim ini memang diakui pretasi pasukan tidak memuaskan tetapi musim ini juga memperlihatkan KAFA sudah berjaya menyelesaikan beberapa isu hutang pemain sehingga kita berjaya melengkapkan lesen pendaftaran pasukan untuk musim hadapan.

“Jadi apa lagi yang mereka tidak berpuas hati? Sebab itu saya rasa gesaan ini tidak berasas dan hanya berniat tidak baik. Bagaimanapun saya tetap akan adakan pertemuan dengan semua PBJ dalam masa terdekat ini untuk memperincikan kesemuanya kepada mereka mengenai masalah yang berlaku dalam badan induk itu,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Semalam, bekas Presiden KAFA, Tan Sri Annuar Musa, dalam entri Facebooknya turut menasihatkan mana-mana individu dalam badan induk itu supaya berundur jika tidak mampu memacu pasukan untuk musim seterusnya.

Mengulas perkembangan sama, Bibi Ramjani memaklumkan kelemahan badan induk itu hanya disebabkan kekangan kewangan serta bebanan hutang yang mana diantaranya tidak diselesaikan barisan kepemimpinan terdahulu.

Malah Bibi Ramjani turut mendedahkan ada penaja pasukan terdahulu masih belum melunaskan baki tajaan mereka hingga menyebabkan kewangan musim ini tidak mencukupi sekaligus menyebabkan timbulnya hutang.

“Saya nak beritahu ada di antara penaja hanya sekadar melengkapkan nama mereka di baju pasukan saja tetapi tidak dengan wang tajaan kerana masih ada baki yang belum dilunaskan kepada KAFA.

“Dan penaja ini semua dari musim lalu dan sepatutnya individu yang memimpin musim sebelum ini pun menyelesaikan isu ini terlebih dahulu sebelum membuka ruang kepada kepimpinan baharu untuk mengambil alih,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 6 Ogos 2018 @ 7:14 PM