MARIA Sharapova antara bintang terkenal yang tidak diletakkan sebagai pilihan bagi kejohanan tenis WTA dan ATP Cincinnati Masters, minggu depan. Foto AFP
AFP

SERENA Williams, Maria Sharapova dan Andy Murray antara senarai bintang yang tidak diletakkan sebagai pilihan bagi kejohanan tenis WTA dan ATP Cincinnati Masters, minggu depan.

Novak Djokovic dan Venus Williams pula menjadi antara pemenang Grand Slam yang tidak mendapat bye pada pusingan pertama pada kejohanan pemanas badan terakhir sebelum Terbuka AS yang bermula, 27 Ogos ini di New York.

Pilihan utama di Cincinnati adalah berdasarkan kedudukan ranking ATP dan WTA yang diisi pemain Sepanyol, Rafael Nadal dan Simona Halep dari Romania.

Daripada 56 pemain yang bertanding, 16 pemain diletakkan sebagai pilihan dengan lapan terbaik mendapat bye pada pusingan pertama.

Pemenang 23 kali Grand Slam, Serena Williams yang memerlukan satu lagi gelaran utama untuk menyamai rekod sepanjang zaman Margaret Court berusaha untuk memenangi gelaran ketujuhnya di Terbuka AS.

Juara dua kali di Cincinnati, Serena tewas di final Wimbledon kepada Angelique Kerber bulan lalu dan ia adalah penampilan final pertama pemain dari AS berusia 36 tahun sejak dia melahirkan anak pada September tahun lalu.

Bintang Russia, Sharapova yang juga pemenang lima kali Grand Slam mara ke suku akhir Terbuka Perancis tetapi tumbang di pusingan pertama Wimbledon.

Penyandang juara Wimbledon, Djokovic yang juga pemenang 13 kali Grand Slam diletakkan sebagai pilihan ke-10, manakala bintang Britain, Murray yang juga pemenang tiga gelaran Grand Slam tidak diletakkan sebagai pilihan.

Ia adalah penampilan keempat Murray dalam kejohanan sejak menjalani rehat selama 11 bulan susulan kecederaan pinggul dengan Djokovic mara ke final Cincinnati sebanyak lima kali tetapi gagal menjulang sebarang trofi kemenangan.

Di belakang pemenang 17 kali Grand Slam, Nadal adalah bintang Switzerland, Roger Federer yang memiliki 20 gelaran Grand Slam diikuti sensasi Jerman, Alexander Zverev, Juan Martin del Potro (Argentina) dan penyandang juara, Grigor Dimitrov dari Bulgaria.

Dalam kategori wanita, bintang Denmark Caroline Wozniacki diletakkan pilihan kedua diikuti pemain AS, Sloane Stephens, Kerber, Elina Svitolina (Ukraine), Caroline Garcia (Perancis) dan penyandang juara, Garbine Muguruza dari Sepanyol.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 7 Ogos 2018 @ 10:05 AM