PEMAIN Negeri Sembilan, Muhammad Fakrul Aiman Sidid (kiri) membuat sepakan ke arah gol TFCII pada saingan Piala Cabaran 2018 Negeri Sembilan menentang TFCII di Stadium Tuanku Abdul Rahman (STAR), Paroi. -Foto BERNAMA
PEMAIN Negeri Sembilan, Muhammad Fakrul Aiman Sidid (kiri) membuat sepakan ke arah gol TFCII pada saingan Piala Cabaran 2018 Negeri Sembilan menentang TFCII di Stadium Tuanku Abdul Rahman (STAR), Paroi. -Foto BERNAMA
Oleh Faizul Azlan Razak


KUALA TERENGGANU: Pengendali sementara Terengganu FCII (TFCII), Tengku Hazman Raja Hassan lulus ujian pertama apabila pasukannya menang 1-0 ke atas Negeri Sembilan dalam aksi Kumpulan A Piala Cabaran di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, malam tadi.

Tengku Hazman yang sebelum ini memikul tugas penolong ketua jurulatih berkata, beliau memuji kesungguhan anak buahnya terutama tiga pemain muda yang kurang diturunkan sebelum ini beraksi cemerlang mengekang tuan rumah.

“Saya memperjudikan dua pemain muda iaitu Muhammad Mohd Faudzi dan Amirul Hafizul Samsol dalam kesebelasan utama di benteng pertahanan manakala Ramzi Sufian masuk sebagai pemain tengah gantian.

“Sekalipun tiga pemain ini kurang mendapat tempat dalam saingan Liga Perdana, namun persembahan mereka wajar dipuji kerana berjaya mengekang asakan penyerang Negeri Sembilan,” katanya ketika dihubungi Sukan NSTP, hari ini.

Pada perlawanan itu, Haidhir Suhaini muncul wira TFC II apabila meledak gol tunggal pada minit ke-47.

Mengulas lanjut, pengendali kelahiran Kelantan berusia 41 tahun itu berkata, kemenangan ke atas Negeri Sembilan menjadi suntikan moral buat pasukannya untuk mengharungi perlawanan seterusnya.

Katanya, jika mahu dibandingkan dengan pasukannya, Negeri Sembilan dilihat memiliki kelebihan kerana memiliki pengalaman bermain dalam Liga Super.

“Kami tidak mahu terlalu selesa dengan kemenangan ini sebaliknya akan memperkemaskan lagi corak permainan selain mempertajamkan jentera serangan.

“Saya lihat, jentera serangan pasukan masih tumpul dan masalah ini perlu diatasi segera kerana selepas ini akan bertandang ke Kuching bertemu Sarawak bagi perlawanan kedua minggu depan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 8 Ogos 2018 @ 6:20 PM