PEMAIN Sabah tagih kemenangan aksi kedua Piala Malaysia. FOTO/FAIL
Ryan Stanley


SELEPAS berjaya mengikat juara Piala FA, Pahang minggu lalu, Sabah makin bersemangat untuk mencipta kemenangan dalam aksi pertama di Stadium Likas dalam saingan Kumpulan D Piala Malaysia.

Menjelang aksi menentang PKNP FC di gelanggang sendiri malam esok, ketua jurulatih, Jelius Ating mahu anak buahnya berwaspada apatah lagi kelab yang berpangkalan di Perak itu masih segar dengan kejayaan membenam Selangor 3-0 minggu lalu.

Jelius berkata, kemampuan anak buahnya mengikat Pahang di Kuantan, Sabtu lalu, menambah keyakinan untuk terus bersaing memburu dua kedudukan terbaik walaupun hanya berstatus pasukan dari Liga Perdana.

“Bagaimanapun, saya tidak mahu pemain berbangga dengan kejayaan mengikat Pahang tempoh hari, sebaliknya saya harap ia motivasi untuk mereka mengekalkan rentak,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Jelius berkata, pertemuan dengan PKNP FC yang kini mendahului kumpulan adalah satu lagi cabaran sukar buat Sabah, namun berharap tuah Stadium Likas akan membantu mereka.

“Kita sekali lagi bertemu dengan pasukan kuat, PKNP FC. Mereka memiliki pemain muda yang bagus dan kami kena hati-hati. Saya harap pemain sekali lagi dapat membuktikan kekuatan mereka walaupun bertemu dengan pasukan dari Liga Super.

“Saya bersama pemain juga sudah melihat rakaman perlawanan membabitkan PKNP FC. Kami ada strategi tersendiri untuk menundukkan mereka, saya harap apa yang dirancang akan dilaksanakan dengan baik,” katanya.

Jelius berkemungkinan besar mengekalkan pemain sama seperti ketika menentang Pahang minggu lalu.

“Hanya Dendy Lowa belum dapat dipastikan sama ada sempat cergas untuk aksi esok atau tidak, sekiranya tidak, dia akan digantikan dengan Alto Linus.

“Selain itu, kita juga masih belum dapat menggunakan khidmat pemain tengah dari Jepun, Keisuke Ogawa yang belum pulih sepenuhnya daripada kecederaan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 10 Ogos 2018 @ 3:55 PM