X
DATUK Sieh Kok Chi.
DATUK Sieh Kok Chi.
Azlan Muhammad Zain


MALAYSIA berpeluang cerah untuk berada dalam kedudukan 10 kelompok teratas Sukan Asia 2018 sekiranya mampu mencapai sekurang-kurangnya 10 emas pada temasya di Jakarta-Palembang yang bermula pertengahan bulan ini.

Pandangan berkenaan disuarakan bekas Setiausaha Agung Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Datuk Sieh Kok Chi yang melihat sasaran tujuh emas hanya meletakkan Malaysia pada kedudukan ke 11 hingga 15 saja.

Jelasnya, tiga kuasa Asia iaitu China, Jepun dan Korea Selatan sudah pasti mendominasi temasya seperti kebiasaannya dengan India turut mampu muncul antara kontinjen yang teratas berdasarkan persembahan mereka di Sukan Komanwel Gold Coast apabila menduduki tempat ketiga.

Indonesia yang meletakkan sasaran 16 emas turut tidak boleh diketepikan dengan mereka sudah pasti akan berada di atas Malaysia atas faktor tuan rumah manakala pencapaian Thailand sentiasa mengatasi kontinjen negara.

Negara seperti Singapura, Qatar, Taiwan, Hong Kong dan Qatar jelas Kok Chi akan menjadi pesaing kepada kontinjen negara untuk memburu kelompok 10 teratas.

"Pada saya sasaran tujuh emas adalah wajar dengan Malaysia mempunyai peluang yang sangat cerah meraih emas dalam beberapa sukan seperti yang diumumkan sebelum ini. Namun pada pandangan saya, untuk menjadi 10 kelompok terbaik, kita perlu sekurang-kurangnya 10 emas.

"Bagaimanapun kehadiran beberapa sukan baru seperti sombo, jujitsu dan sebagainya sedikit merumitkan kerana sukar untuk meramalkan kekuatan negara yang bertanding selain sukan yang bersifat subjektif," jelasnya.

Malaysia yang menghantar 426 atlet menyertai 35 jenis sukan secara rasmi meletakkan sasaran tujuh emas untuk kontinjen negara ke Sukan Asia 2018 dengan beberapa sukan menjadi sandaran utama seperti berbasikal, karate, pencak silat, tenpin boling dan sepak takraw.

Bagaimanapun kontinjen negara turut diumumkan berpeluang mencecah 11 emas menerusi beberapa sukan lain seperti pelayaran, skuasy dan hoki lelaki.  

"Pada saya, sasaran tujuh emas akan tercapai sekiranya pencak silat, skuasy dan karate mampu menyumbang empat emas dengan sukan lain menyumbang sebutir emas setiap satu," tambahnya.

Malaysia pernah meraih kelompok 10 terbaik di Sukan Asia 2010 dengan sembilan emas, bagaimanapun ia merosot empat tahun kemudian apabila kontinjen negara berada pada kedudukan ke-14 dengan lima emas.

 

 

 

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 11 Ogos 2018 @ 12:43 PM