SIMONA menewaskan Ashleigh 6-4, 6-1 dalam aksi separuh akhir, awal pagi tadi. FOTO/AFP
AFP

MONTREAL: Pemain nombor satu dunia, Simona Halep dari Romania mara ke final Piala Rogers selepas menewaskan pemain Australia, Ashleigh Barty 6-4, 6-1 dalam aksi separuh akhir, awal pagi tadi.

Simona yang juga juara kejohanan itu pada 2016 akan menentang Elina Svitolina dari Ukraine atau juara Terbuka AS Sloane Stephen yang beraksi dalam satu lagi separuh akhir.

Pilihan utama Simona menang empat daripada lima perlawanan di set pertama dan dua kali mematahkan servis Ashleigh tetapi pemain Australia itu menang di perlawanan terakhir.

Aksi di set kedua berakhir dengan lebih pantas apabila Simona menang tujuh daripada lapan perlawanan.

Bagaimanapun, Simona merungut mengenai jadual perlawanan yang berlangsung selepas dia menang aksi suku akhir kelmarin.

“Jika anda melihat kepada jadual perlawanan iaitu tengah hari, saya rasa saya satu-satunya pemain yang mempunyai jadual paling buruk minggu ini,” kata juara Terbuka Perancis itu kepada akhbar Montreal Gazette.

“Pemain lawan mempunyai masa rehat enam jam di hotel tetapi saya baru tamat perlawanan dan sekarang sedang ditemuramah wartawan,” kata Simona.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 12 Ogos 2018 @ 11:37 AM