PELUMBAAN Moto2 yang menyaksikan Khairul Idham Pawi mengakhiri di tempat ke-16. FOTO Reuters
Fadhli Ishak


KEHAMPAAN penunggang Moto3 negara, Adam Norrodin di Litar Brno, Republik Czech minggu lalu gagal ditebus apabila menamatkan perlumbaan Grand Prix (GP) Austria di luar pungutan mata, hari ini.

Pelumba pasukan PETRONAS Sprinta Racing itu yang memulakan saingan di petak ke-10 di Litar Red Bull Ring mengakhiri perlumbaan di kedudukan ke-17, ketinggalan 19.419 saat (s) di belakang pemenang, Marco Bezzecchi (Redox PruestelGP). 

Rakan sepasukannya, Ayumu Sasaki dari Jepun begitupun mencipta kejutan apabila menamatkan perlumbaan di tangga ketujuh, kedudukan terbaiknya tahun ini sekali pun memulakan saingan di petak ke-18.

Adam yang tidak menamatkan perlumbaan di Brno akibat kemalangan tidak dapat menyembunyikan kekecewaannya.

“Saya benar-benar kecewa hari ini kerana amat mengharapkan keputusan yang baik. Saya dapat rasakan boleh mendapat keputusan yang lebih baik,” kata Adam.

“Di awal perlumbaan, saya merasakan saya kekurangan kelajuan. Saya hanya dapat merapati mereka ketika melakukan brek tetapi tidak dapat meneruskannya selepas selekoh.

“Apabila tayar semakin haus, saya mula ketinggalan dan bergelut. Saya hampir mengalami kemalangan beberapa kali tetapi terselamat.

“Penghujungnya, saya terlepas beberapa posisi dan sejujur-jujurnya, tiada apa yang boleh saya katakan. Saya tidak tahu apa yang perlu dilakukan, saya sudah memberikan segala-galanya. Harapnya perlumbaan selepas ini saya dapat kembali dengan lebih bertenaga.”

Bezzecchi yang mengungguli perlumbaan sejak awal menamatkan saingan dengan catatan 37 minit 13.198s diikuti rakan senegaranya dari Itali, Enea Bastianini (+0.473s) manakala pelumba Sepanyol, Jorge Martin melengkapkan podium.

Dalam kelas Moto2, seorang lagi pelumba negara Khairul Idham Pawi (Idemitsu Honda Team Asia) turut terlepas pungutan mata apabila menamatkan saingan di tangga ke-16.

Pelumba Finland, Niki Tuuli yang beraksi bersama pasukan PETRONAS Sprinta Racing mengakhiri perlumbaan di tangga ke-21 untuk minggu kedua berturut-turut dengan saingan dimenangi pelumba Itali, Francesco Bagnaia dengan catatan 37:45.914s.

Pusingan berikutnya dijadual berlangsung di Litar Silverstone pada 24 hingga 26 Ogos ini. 

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 12 Ogos 2018 @ 8:50 PM