KLAVAN dalam radar utama Reds untuk disingkirkan. FOTO/AGENSI
Agensi

LONDON: Pengurus Liverpool, Jurgen Klopp dilihat bersedia untuk mengurangkan jumlah pemain di dalam pasukannya sebelum akhir bulan ini dengan pertahanan dari Estonia,  Ragnar Klavan berada dalam senarai utama.

Klavan salah seorang daripada beberapa pemain yang mungkin akan disingkirkan sebelum 31 Ogos ini selepas Reds cenderung untuk mengurangkan jumlah pemain.

Klavan berada dalam tahun akhir kontraknya bersama Liverpool meskipun kelab itu mempunyai pilihan untuk melanjutkan kontraknya selama setahun lagi.

Pemain berusia 32 tahun itu menarik minat Newcastle United pada hari terakhir musim perpindahan pemain, namun Magpies akhirnya menandatangani Federico Fernandez dari Swanse City.

Dia bagaimanapun kekal popular di dalam skuad dan jarang mengecewakan Liverpool sepanjang 53 penampilan bersama kelab itu.

 Klavan juga dilihat tidak mempunyai sebarang masalah sekiranya mahu berhijrah ke Bundesliga selepas melalui tempoh empat musim cemerlang bersama Augsburg. Dia kemudian menyertai Liverpool pada 2016.

Klopp tidak ada masalah untuk mengekalkan sekiranya Klavan enggan berhijrah selepas berakhir bulan ini.

Bagaimanapun  Virgil van Dijk, Dejan Lovren, Joel Matip dan Joe Gomez kesemuanya terpaksa bersaing yang menyaksikan peluang Klavan untuk beraksi agak tipis.

Klavan diketepikan pada perlawanan Liga Perdana Inggeris bertemu West Ham Ahad lalu kerana kecederaan dan dijangka kembali menjalani latihan minggu ini.

Liverpool dijangka akan turut melepaskan beberapa pemain lagi. Penjaga gol, Simon Mignolet antara yang menjadi tumpuan dengan Napoli dan Besiktas berminat untuk mendapatkannya. 

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 14 Ogos 2018 @ 10:23 AM