HEUNG-MIN pasti akan jadi tumpuan dalam Sukan Asia. FOTO/AGENSI
AFP

JAKARTA: Son Heung-Min sudah pun beraksi di pentas Piala Dunia dan Liga Perdana Inggeris, tetapi Sukan Asia di Indonesia dilihat peluang terbaik untuk terus mencerahkan karier penyerang prolifik dari Korea Selatan.

 Selain mempertahankan pingat emas, Heung Min, 26, perlu menyertai program ketenteraan yang diwajibkan kepada setiap warga Korea, sesuatu yang pasti akan memberi impak kepada pemain yang sangat diperlukan oleh negaranya serta kelab disertai sekarang, Tottenham Hotspur.

 Heung-min terus terbang ke Jakarta untuk menghadapi saingan Sukan Asia selepas membantu Tottenham memenangi aksi pembukaan di Newcastle, Sabtu lalu.

 Sebagai pemain Asia paling banyak meledak gol di Liga Perdana Inggeris serta diangkat sebagai selebriti di negaranya, dia akan menjadi pemain paling menjadi tumpuan di Sukan Asia.

 Kini harapan Heung-Min adalah membantu Korea selaku juara bertahan meraih emas sekali gus membolehkannya terlepas untuk menyertai program ketenteraan, satu keistimewaan yang sering diberikan kepada atlet yang meraih pencapaian luar biasa di Sukan Olimpik dan Piala Dunia.

 Ketika Korea Selatan dilabel sebagai pasukan pilihan di Sukan Asia, temasya sukan terbesar di Asia itu turut menampilkan penyertaan Jepun, Arab Saudi dan Iran yang beraksi di Piala Dunia 2018.

 Tottenham dilihat masih bertolak ansur melepaskan Heung-Min meskipun sedar khidmat penyerang prolifik itu tidak dapat digunakan ketika bertemu Fulham, Manchester United dan Watford sekiranya Korea mara ke pentas final.

 Sukan Asia tiada di dalam senarai kejohanan FIFA dan kelab tidak diwajibkan untuk melepaskan pemain mereka. Heung-Min tidak beraksi pada Sukan Asia empat tahun lalu ketika Korea Selatan menewskan Korea Utara selepas kelabnya ketika itu, Bayer Leverkusen enggan melepaskannya.

 Bagaimanapun Heung-Min atau kelabnya sedar seandainya pemain mereka itu diwajibkan menyertai program ketenteraan, ia akan menjejaskan kariernya sebagai pemain bola sepak.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 14 Ogos 2018 @ 12:59 PM