RAMOS (kanan) kritik rekod buruk pengurus Liverpool, Jurgen Klopp di pentas final. FOTO/AFP
Reuters

TALLINN: Pertahanan Real Madrid, Sergio Ramos mengkritik rekod buruk pengurus Liverpool, Jurgen Klopp di pentas final sekali gus meneruskan perang mulut antara mereka berdua.

Klopp sebelum ini mengkritik Ramos kerana menyebabkan Mohamed Salah mengalami kecederaan selain bertembung dengan penjaga gol, Loris Karius ketika Liverpool tewas 1-3 kepada Real Madrid pada aksi final Liga Juara-Juara, Mei lalu.

Salah mengalami kecederaan ligamen pada bahu sekali gus mencetuskan persoalan sama ada pemain itu dapat tampil ke Piala Dunia atau sebaliknya.

Karius pula mengalami gegaran otak yang menyebabkannya melepaskan dua gol mudah.

“Ia bukan final pertama Klopp kalah. Beliau sepatutnya menjaga hal sendiri,” kata Ramos menjelang saingan Piala Super UEFA bertemu juara Liga Europa, Atletico Madrid.

“Kami sudah meraih banyak kejayaan di pentas tertinggi sejak beberapa tahun lalu. Saya tak pasti sama ada beliau boleh menyatakan perkara yang sama,” tambahnya.

Klopp yang melabelkan Ramos sebagai kejam dan ganas, gagal untuk meraih kemenangan enam daripada tujuh aksi final sepanjang kariernya selaku jurulatih.

Ramos pula sudah memenangi empat kejuaraan Liga Juara-Juara, empat La Liga, menjulang Piala Dunia 2010 dan membantu Sepanyol memenangi saingan Euro sebanyak dua kali.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 15 Ogos 2018 @ 8:20 AM