RODGERS bersalaman dengan anak buah selepas perlawanan. FOTO/AFP
AFP

PARIS: Skuad kendalian Brendan Rodgers, Celtic tersingkir daripada Liga Juara-Juara selepas tewas 2-1 kepada AEK Athens di peringkat kedua pusingan ketiga kelayakan di Greece, awal pagi tadi.

Pada aksi peringkat pertama di Parkhead minggu lalu, juara Scotland itu hanya mampu seri 1-1 walaupun lawan beraksi dengan 10 pemain.

Dalam perlawanan di Athens itu, Rodrigo Galo menjaringkan gol pertama buat tuan rumah pada minit keenam dan penyerang Croatia, Marko Livaja menambah kesengsaraan pelawat pada awal babak kedua dengan menjaringkan gol kedua.

Bekas pemain sayap Manchester City, Scott Sinclair menanduk masuk 12 minit sebelum tamat permainan untuk menyalakan impian Celtic tetapi AEK cekal bertahan dengan kemenangan agregat 3-2.

Juara Greece itu akan menentang kelab Hungary, MOL Vidi di pusingan playoff sementara juara Piala Eropah 1967, Celtic terpaksi beraksi di Liga Europa selepas gagal layak ke peringkat kumpulan Liga Juara-Juara untuk tiga musim berturut-turut.

"Saya rasa kami telah beraksi baik tetapi kealpaan di bahagian pertahanan mengundang kekalahan,” kata Rodgers kepada wartawan.

"Perlawanan ini boleh kami menangi tetapi kecuaian pertahanan yang gagal bertahan dengan baik. Kami memberikan banyak masalah kepada AEK tetapi pada masa sama anda perlu bertahan dengan baik. Itu masalah kami dalam perlawanan ini.”

Ini kali pertama Celtic mengalami dua kekalahan berturut-turut di bawah kendalian Rogers sejak mengambil alih tugas pada 2016 selepas kekalahan mengejut di tangan Hearts dalam Liga Perdana Scotland Sabtu lalu.

Celtic akan menentang sama ada kelab Latvia, Spartaks Jurmala atau kelab Lithuania, Suduva untuk perebutan tempat dalam kumpulan Liga Europa.

"Saya tak mencipta alasan,” kata Rodgers. “Saya selalu menekankan kepentingan menguatkan pasukan dan saya berharap dapat melakukannya sekarang. Adalah penting mempunyai bola sepak Eropah tahun ini.”

Dalam perlawanan lain, juara Eropah dua kali Benfica menang agregat 2-1 ke atas Fenerbahce.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 15 Ogos 2018 @ 10:32 AM