SVETLANA (dari kiri), Wawrinka dan Victoria dapat wildcard  ke Terbuka Amerika Syarikat. FOTO/FAIL
SVETLANA (dari kiri), Wawrinka dan Victoria dapat wildcard ke Terbuka Amerika Syarikat. FOTO/FAIL
Reuters

TORONTO: Bekas juara Grand Slam, Victoria Azarenka, Svetlana Kuznetsova dan Stan Wawrinka mengetuai senarai pemain yang diberi tiket wildcard ke Terbuka Amerika Syarikat, menurut jurucakap Persatuan Tenis AS, semalam.

Bekas pemain nombor satu dunia, Victoria yang juga juara dua kali Terbuka Australia dan dua kali naib juara Terbuka AS menarik diri daripada kejohanan sama tahun lalu di Flushing Meadows selepas terbabit pertelagahan hak penjagaan anak.

Walaupun melonjak ke tangga 87 dunia minggu ini, pemain dari Belarus itu tetap memerlukan tiket wildcard kerana kedudukan ranking itu gagal membantunya selepas senarai akhir pemain dikeluarkan minggu lalu.

Situasi sama dialami Svetlana yang kali pertama menjuarai Grand Slam di Terbuka AS pada 2004 ketika berusia 19 tahun tetapi gagal mendapat tiket automatik.

Pemain Russia itu melonjak ke tangga 88 dunia selepas menjuarai WTA ke-18 sembilan hari lalu di Washington.

Wawrinka juara tiga Grand Slam tidak mempertahankan gelaran dimenangi pada 2016 selepas menarik diri akibat kecederaan kaki tahun lalu dan menjalani pembedahan pada Ogos yang memaksanya berehat sehingga Januari lalu.

Sejak tersingkir di pusingan kedua Wimbeldon, Wawrinka hanya menang tiga perlawanan di atas gelanggang tanah keras.

Dia tewas di pusingan pertama di Washington sebelum disekat pemain nombor satu dunia Rafael Nadal yang muncul juara kejohanan pada pusingan ketiga di Toronto. Dia kembali beraksi di Cincinnati minggu ini dan akan menentang pemain Jepun, Kei Nishikori di pusingan kedua. Terbuka AS berlangsung dari 27 Ogos sehingga 9 September.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 15 Ogos 2018 @ 12:09 PM