SARRI (kiri) dan Emery perlu segera lonjak prestasi pasukan masing-masing. FOTO/AGENSI
AFP

LONDON: Rejim baru Chelsea dan Arsenal di bawah Maurizio Sarri dan Unai Emery memulakan kempen Liga Perdana Inggeris dengan nada berbeza, namun perlawanan membabitkan kedua-dua pasukan itu awal pagi Ahad akan memberi ujian sebenar sejauh mana persaingan antara dua kelab London itu.

Kegagalan melayakkan diri ke Liga Juara-Juara musim ini mencetuskan perubahan besar terhadap kedua-dua kelab berkenaan.

Namun, dengan Chelsea yang sering berdepan pertukaran jurulatih di bawah Roman Abramovich, Arsenal pula berada di era baru Emery selepas 22 tahun dikendalikan Arsene Wenger.

Petanda awal menunjukkan Emery memerlukan masa untuk memperbaiki kemerostan prestasi yang membelenggu skuad itu pada penghujung ‘pemerintahan’ Wenger.

Bagaimanapun, pengurus dari Sepanyol itu berdepan kesukaran menghadapi juara bertahan, Manchester City dalam penampilan pertama di Liga Perdana Inggeris selepas Arsenal tewas 0-2 di gelanggang sendiri hujung minggu lalu.

Sarri juga menegaskan bahawa ia akan mengambil masa sekurang-kurangnya dua bulan untuk melaksanakan corak menyerang seperti yang dilakukan di Napoli.

Walaupun menghadapi gangguan dalam aksi pramusim selepas tiba di Stamford Bridge sebagai pengganti Antonio Conte, penghijrahan Thibaut Courtois dan spekulasi membabitkan beberapa pemain utama yang lain, Chelsea bagaimanapun meraih kemenangan 3-0 ke atas Huddersfield pada aksi pembukaan.

Terdapat tanda-tanda yang jelas mengenai pengaruh Sarri termasuk Jorginho, yang mengikuti bosnya itu dari Napoli ke Chelsea pada musim panas lalu dan berjaya menguasai bahagian tengah.

Chelsea mungkin lebih kuat pada hujung minggu ini dengan Eden Hazard boleh berada dalam barisan skuad utama selepas hanya beraksi 15 minit di Huddersfield berikutan penampilannya di Piala Dunia bersama Belgium.

Conte hanya memenangi satu daripada lapan pertemuan dengan Arsenal sepanjang dua musim mengendalikan Chelsea.

 

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 17 Ogos 2018 @ 9:14 AM