SILVA mahu rakan sepasukan pamer prestasi sebenar. FOTO/AGENSI
AFP  

PARIS: Paris Saint-Germain (PSG) yang akan berkunjung ke Guingamp untuk perlawanan seterusnya saingan Ligue 1 sudah dilabel pencabar utama  kejuaraan, namun jurulatih, Thomas Tuchel berasakan skuad bimbingannya itu seperti beraksi pada saingan pramusim.

Terdapat beberapa perubahan yang dilakukan oleh Tuchel dengan Neymar diturunkan ketika mereka mencatat kemenangan 3-0 ke atas Caen.

Ketika bintang Brazil itu sudah kembali, tiga pemain yang menjulang Piala Dunia,  Kylian Mbappe, Presnel Kimpembe dan Alphonse Areola hanya tampil untuk menunjukan trofi yang dimenangi di Moscow kepada penyokong.

“Kami perlu mempunyai saingan pramusim kedua. Tetapi ketika ini bukanlah tempoh pramusim kerana kami turun dengan misi untuk meraih mata dan amat penting untuk menang kerana kami meletakkan sasaran sangat tinggi,” kata Tuchel.

Kapten, Thiago Silva juga bersetuju dengan pendapat bahawa pasukan belum dapat mempamerkan aksi terbaik mereka.

“Ada pemain yang tiba lewat seperti saya,” katanya.

Pada perlawanan dengan Caen, barisan pemain PSG membabitkan pemain muda berusia 19 tahun yang membuat penampilan pertama di Ligue 1, Stanley Nsoki dan Colin Dagba di benteng pertahanan bersama-sama pemain tengah,  Antoine Bernede.

Tuchel turut mengambil risiko mengeluarkan Neymar dan menggantikannya dengan Timothy Weah yang berusia 18 tahun ketika perlawanan berbaki lapan minit. Weah kemudian meledak gol.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 17 Ogos 2018 @ 11:21 AM