MARLON (tengah) secara disambar Sassuolo. FOTO/AFP
AFP

MILAN: Pertahanan Barcelona, Marlon melengkapkan perpindahan ke kelab Serie A, Sassuolo menjelang berakhirnya jendela perpindahan di Itali.

Pemain berusia 23 tahun yang menjalani ujian perubatan bersama pasukan dari Modena itu bersetuju dengan perjanjian lima tahun bernilai 12 juta euro (RM56 juta).

Sassuolo akan membayar RM26 juta sekarang dan selebihnya akan dibayar jika bintang Brazil itu beraksi 50 perlawanan untuk kelab dengan gergasi Catalan mengekalkan pilihan pembelian balik dan 50 peratus daripada sebarang bayaran masa depan.

Bekas pemain skuad bawah 20 (B-20) tahun Brazil itu menghabiskan musim lalu secara pinjaman di Nice, boleh membuat penampilan pertama di Serie A pada aksi di gelanggang sendiri pada Ahad ini.

Penjaga gol Arsenal, David Ospina menyertai Napoli dengan pemain Villarreal, Samu Castillejo dan bintang Genoa, Diego Laxalt melengkapkan ujian perubatan di AC Milan, sekali gus menjadi satu berita yang mengejutkan pada penghujung jendela perpindahan.

Ketibaan Ospina menerima kritikan daripada peminat kerana kekurangan perbelanjaan oleh jurulatih baru naib juara Serie A itu, Carlo Ancelotti berbanding juara bertahan, Juventus yang menyalurkan 100 juta euro (RM466 juta) untuk membawa bintang Real Madrid, Cristiano Ronaldo ke Turin.

Terdapat kebimbangan termasuk mengenai kemampuan penjaga gawang, Alex Meret, Fabian Ruiz (tengah) dan Simone Verdi (penyerang) yang mungkin tidak mencukupi untuk Napoli mengimbangi persaingan dari Juventus, Inter dan AC Milan.

Di bandaraya Inter Milan, harapan untuk menandatangani bintang Real Madrid, Luka Modric semakin pudar, dengan ketibaan pemain Roma, Radja Nainggolan dan penyerang Argentina, Lautaro Martinez antara perpindahan musim panas yang menarik perhatian.

Selepas pemergian Nainggolan dan penjaga gawang Alisson ke Liverpool, Roma memperkuatkan skuad mereka dengan pemain sayap Justin Kluivert, tonggak tengah Javier Pastore dan Steven Nzonzi dari Sevilla.

“Kami lakukan apa yang kami mahu, kami bergerak pantas untuk membentuk skuad. Selepas itu kami terus memantau pasaran untuk melihat beberapa peluang,” kata pengarah sukan Roma, Monchi pada majlis memperkenalkan Nzonzi di Stadio Olimpico, semalam.

“Saya gembira, jika anda sentiasa melakukan yang terbaik. Kami bukan pasukan yang hanya melakukan penjualan (pemain), kami adalah pasukan ketiga yang berbelanja besar.

“Saya tidak pernah berkata “tidak” kepada pemain yang dimahukan pengurusan. Kami mempunyai cita-cita dan perancangan untuk Roma berada pada tahap tertinggi.”

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 17 Ogos 2018 @ 11:29 AM