SIMONA mencatat kemenangan  4-6, 6-3, 6-3 ke atas Ajla. FOTO/AFP
AFP

CINCINNATI: Di sebalik gangguan hujan, Simona Halep dan Juan Martin del Potro masing-masing meraih kemenangan pada pusingan kedua ATP-WTA  Cincinnati Masters.

Simona yang menduduki ranking pertama dunia, mencatat kemenangan  4-6, 6-3, 6-3 ke atas Ajla Tomljanovic.

Dia dilihat kecewa selepas hujan menyebabkan perlawanan ditangguhkan seketika sewaktu kedudukan terikat 3-3 di set ketiga sebelum mencatat kemenangan mutlak.

Simona bernasib baik kerana sebaik tamat perlawanan, hujan mula turun kembali. 

Sementara itu pemain nombor tiga dunia dari Argentina, Del Potro turut berdepan situasi sama ketika bertemu Chung Hyeon.

Selepas pegawai perlawanan memberi lampu hijau untuk semua perlawanan disambung semula, Del Potro kembali beraksi sekali gus mencatat kemenangan 6-2, 6-3 ke atas lawannya dari Korea Selatan itu untuk membuat perhitungan dengan Nick Kyrgios bagi merebut tiket ke suku akhir.

Pada aksi pusingan ketiga, finalis Terbuka Amerika Syarikat (AS), Madison Keys yang juga pilihan ke-13, terpaksa bekerja keras sebelum menewaskan juara Wimbledon, Angelique Kerber 2-6, 7-6 (7/3), 6-4.

“Saya hanya bertenang selepas lawan beraksi dengan baik. Saya gembira dengan kemenangan ini dan berharap dapat mara lebih jauh,” kata Madison.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 17 Ogos 2018 @ 11:51 AM