X
SHAHREL ketika bersama pasukan PKNP musim lepas. -Foto fail
SHAHREL ketika bersama pasukan PKNP musim lepas. -Foto fail
Firdaus Hashim

KUALA LUMPUR: Ketua jurulatih skuad Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe gembira dengan perkhabaran positif yang dicetuskan penyerang PKNP FC, Shahrel Fikri Md Fauzi yang kini beraksi secara pinjaman bersama kelab liga satu Thailand, Nakhon Ratchasima.

Penjaring terbanyak PKNP dengan 20 gol dalam semua pertandingan pada musim lalu itu berjaya mencetak gol pertamanya bersama Nakhon Ratchasima ketika aksi Piala Liga Thailand bertemu Ranong United pada 8 Ogos lalu.

Menurut Cheng Hoe, kemajuan ditunjukkan Shahrel bakal menjadi aset penting terpenting buat skuad negara yang akan beraksi di saingan Piala AFF November depan.

Katanya, ketumpulan jentera serangan terutama ketika pasukan kebangsaan sekadar meraih kemenangan tipis 1-0 ke atas Fiji pada aksi persahabatan di Kuala Lumpur bulan lalu mungkin dapat diatasi dengan kehadiran Shahrel.

“Kalau ikutkan masa dengan bekas jurulatih, Nelo Vingada pun kita pernah panggil dia. Tetapi namanya terpaksa digugurkan kerana masalah kecederaan ketika menjalani latihan.

“Mac lalu pun kita ada panggil dia. Sudah tentu kejayaan dia menjaringkan gol di liga Thailand dengan status sebagai pemain import amat menggembirakan barisan kejurulatihan.

“Ia satu tanda positif apabila Sharel bermain di sana dan untuk jangka masa terdekat ini kita akan menilai prestasinya lagi dalam beberapa aksi persahabatan selepas ini.

“Saya harap dia bersedia untuk memikul tanggungjawab lebih besar menjelang Piala AFF nanti,” katanya hari ini.

Skuad kendalian Cheng Hoe bakal mengharungi lima aksi persahabatan sebagai rangka persiapan sebelum beraksi di Piala AFF dengan Malaysia diletakkan dalam Kumpulan A bersama Vietnam, Myanmar, Kemboja dan Laos.

Lima aksi persahabatan itu antaranya bertemu Taiwan pada 7 September depan, Kemboja (11 September), Sri Lanka (12 Oktober), Republik Kyrgyz (16 Oktober) dan Maldives (3 November).

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 17 Ogos 2018 @ 7:03 PM