TUNKU ISMAIL SULTAN IBRAHIM
TUNKU ISMAIL SULTAN IBRAHIM
Firdaus Hashim


KUALA LUMPUR: Liga Bolasepak Malaysia (MFL) sedia mengubah polisi membabitkan isu pemain naturalisasi untuk didaftarkan sebagai pemain tempatan dalam saingan Liga Malaysia (Liga M) tanpa perlu menunggu sehingga tempoh lima tahun.

Pengerusi MFL, Tunku Ismail Sultan Ibrahim berkata, pihaknya ketika ini sedang berusaha bersama Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) bagi mengkaji dan mencari penyelesaian terbaik untuk meminda peraturan terbabit.

Sebelum ini, MFL menerusi Ketua Pegawai Eksekutifnya, Kevin Ramalingam mengesahkan penyerang Pahang, Mohamadou Sumareh perlu menunggu sehingga tahun 2023 untuk didaftarkan sebagai pemain tempatan, meskipun sudah mendapat taraf kerakyatan Malaysia April lalu.

“Saya sedia menolong terutamanya pasukan tempatan yang mahukan Sumareh bermain sebagai pemain tempatan. Ia juga bagi membolehkan pemain itu bermain untuk pasukan kebangsaan,” katanya ketika Forum Penyokong Bersama Pengerusi MFL, di sini, hari ini.

“Sekarang ini, FAM punya kedudukan dan MFL punya kedudukan adalah sama, iaitu kepentingan dan keutamaan adalah kepada pemain tempatan kita. Tetapi FAM sudah membuat kenyataan mengadakan satu pasukan dengan menggunakan pemain naturalisasi.

“Jadi kami sedang mengkaji dan melihat implikasi-implikasi tersebut dan minta satu ‘blueprint’ supaya pemain tersebut bukan saja boleh bermain sebagai pemain tempatan dalam liga, malah juga pasukan kebangsaan kita.

“Memang itu kajian sekarang ini, dan kita tengah tunggu apa laporan yang kita nak buat ke arah perkara itu.”

Dalam perkembangan lain, Tunku Ismail turut menjawab isu final Piala FA membabitkan pertemuan Pahang dan Selangor di Stadium Nasional Bukit Jalil, bulan lalu.

MFL dikatakan sengaja meneruskan aksi final terbabit ketika bahang Piala Dunia Russia sedang rancak berlangsung yang akhirnya menyaksikan pentas final itu hilang seri apabila hanya 40,000 penyokong saja hadir ke venue itu.

“Sebenarnya kami tak menerima apa-apa permohonan rasmi daripada pasukan Pahang ataupun Selangor untuk menukar tarikh perlawanan. Kalau ada permintaan dari pasukan, sudah tentu kami akan berbincang. Tapi bila tak ada permintaan kami teruskan perlawanan itu,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 18 Ogos 2018 @ 8:53 PM