KARIM IBRAHIM
Aida Adilah Mat

KUALA LUMPUR: Perlucutan jawatan Presiden Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM), Datuk Karim Ibrahim dalam Persekutuan Olahraga Antarabangsa (IAAF) mencalarkan imej olahraga negara.

Itu tegas bekas atlet pecut negara yang kini bergelar jurulatih Nazmizan Mohamad yang menuntut Karim meletak jawatan secara terhormat.

Katanya, imej KOM sudah tercemar dan lebih memalukan ia membabitkan kes doping tujuh tahun lalu yang kini pasti akan dibuka semula.

“Karim sudah tidak boleh jadi Presiden KOM lagi. Beliau perlu undur diri secara terhormat. Keputusan IAAF itu menjejaskan reputasi KOM.

“Saya sendiri tidak faham bagaimana orang yang mempunyai kes dalam isu doping boleh menjawat jawatan dalam KOM, malah memenangi jawatan sebagai Presiden Olahraga Perak.

“Ini jelas menunjukkan ada sesuatu yang tidak kena dengan pemilihan,” katanya.

Bekas jaguh pecut Asia Tenggara itu berkata, perlucutan jawatan Karim dalam IAAF itu diharapkan dapat membuka mata ramai pihak yang selama ini takut dengan bayang-bayang mereka sendiri.

Tegas Nazmizan lagi, kes membabitkan Karim bukan isu kecil kerana ia dilucutkan keahlian dalam IAAF dan Malaysia membiarkan beliau terus bermaharajalela.

Ahad lalu, Karim dilucutkan jawatan dalam badan induk itu kerana panel penilai IAAF mendapati bahawa beliau ‘tidak layak’ memegang jawatan dalam badan induk berkenaan.

Karim dalam satu dokumentari yang disiarkan media Jerman ARD dituduh melindungi amalan penyalahgunaan dadah di negara ini.

Dokumentari itu disiarkan pada Mac 2016.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 20 Ogos 2018 @ 7:15 PM