CRISTIANO RONALDO
Reuters

LONDON: Cristiano Ronaldo, Luka Modric dan Mohamed Salah disenarai pendek bagi anugerah Pemain Terbaik Tahunan Kesatuan Bolasepak Eropah (UEFA), umum badan induk itu, hari ini.

Ronaldo, yang mengungguli anugerah sama tahun lalu, membantu Real Madrid memenangi gelaran ketiga berturut-turut Liga Juara-Juara musim lalu dan menamatkan saingan elit berkenaan selaku peledak terbanyak dengan 15 gol.

Penyerang kelahiran Portugal itu yang sudah memenangi tiga anugerah berkenaan menjadi satu-satunya pemain yang sentiasa disenarai pendek sejak UEFA memperkenalkan anugerah berkenaan pada 2011.

Modric, yang juga pemain Real membantu Croatia menamatkan Piala Dunia 2018 di tangga kedua dan dinobatkan anugerah Pemain Terbaik Kejohanan di Russia.

Pemain Liverpool, Salah meledak 44 gol musim lalu dan membantu kelab Inggeris itu mara ke final Liga Juara-Juara sebelum tewas kepada Real.

Sementara itu, penyerang VfL Wolfsburg, Pernille Harder dan peledak Olympique Lyonnais, Ada Hegerberg dan pemain tengah bertahan Amandine Henry disenarai pendek bagi kategori wanita.

Anugerah berkenaan akan berlangsung pada undian peringkat kumpulan Liga Juara-Juara musim ini di Monaco pada 30 Ogos ini.

 

 

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 20 Ogos 2018 @ 11:15 PM