AKSI perlawanan antara Atletico Madrid dan Valencia yang berakhir dengan keputusan 1-1. Foto AFP
AKSI perlawanan antara Atletico Madrid dan Valencia yang berakhir dengan keputusan 1-1. Foto AFP
AFP

 

ATLETICO Madrid memulakan kempen La Liga dengan keputusan seri 1-1 menentang Valencia di Stadium Mestalla.

Angel Correa meletakkan skuad kendalian Diego Simeone itu di depan pada minit ke-26, tetapi Rodrigo mengikat kedudukan di babak kedua untuk tuan rumah yang muncul naib juara tahun lalu.

Atletico dikatakan mampu menjadi pencabar kejuaraan musim ini apabila mengekalkan pemain tonggak mereka sepanjang jendela perpindahan dan meraih kemenangan ke atas Real Madrid dalam saingan Piala Super UEFA minggu lalu.

Tetapi aksi sulung musim ini menyaksikan cabaran sengit dilontar Valencia yang akan beraksi di kancah Liga Juara-Juara musim ini buat pertama kali sejak tahun 2015 di mana mereka menamatkan saingan di tempat keempat.

“Ia amat memalukan kerana kami mahu membawa pulang kemenangan tetapi tidak berjaya,” kata Correa, pemain 23 tahun yang turut menjaringkan gol pada perlawanan pembukaan liga antara Atletico dan Girona setahun lalu.

“Usaha yang kami tampilkan ketika Piala Super tidak boleh dijadikan alasan, kami tahu bagaimana untuk mengulangi usaha sedemikian. Perjalanan masih jauh sebelum kami bercakap tentang kejuaraan, kami perlu terus bekerja keras.”

Dalam satu lagi aksi, Iker Muniain menjaringkan gol dalam masa kecederaan untuk memberikan Athletic Bilbao kemenangan 2-1 ke atas Leganes di San Mames. 

Peru Nolaskoain membuka jaringan buat Bilbao pada minit ke-27 tetapi Jonathan Silva kembali menyamakan kedudukan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 21 Ogos 2018 @ 8:13 AM