THIERRY HENRY
THIERRY HENRY
Reuters

LONDON: Arsene Wenger mungkin tidak terburu-buru untuk kembali ke arena pengurusan tetapi bekas pengurus Arsenal itu mendedahkan anak didiknya, Thierry Henry berminat mengendalikan kelab Perancis, Bordeaux.

Kelab Ligue 1 itu menggantung pengurusnya, Gus Poyet minggu lalu susulan komennya terhadap perjanjian ketika jendela perpindahan pasukan itu yang menyaksikan penyerang, Gaetan Laborde dijual ke Montpellier.

“Benar, dia (Henry) mahu melakukannya, dia cerdik dan berkualiti,” kata Wenger yang ketika ini sedang menikmati cuti di Corsica, Perancis kepada akhbar tempatan Corse Matin.

“Persoalan utama yang kami sentiasa tanyakan kepada diri kami adalah adakah kami bersedia untuk mengorbankan kehidupan kami untuk profesion kejurulatihan.”

Wenger menamatkan tempoh selama 22 tahun selaku pengurus Arsenal pada Mei lalu.

Henry yang bermain di bawah bimbingan Wenger di kelab dari London itu menjadi pembantu pengurus skuad Belgium yang menamatkan kempen Piala Dunia di tangga ketiga.

 

 

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 21 Ogos 2018 @ 9:47 PM