CHEEMA menyaksikan acara menembak pada temasya Sukan Asia ke-18 di Kompleks Sukan Menembak Jakabaring. BERNAMA
CHEEMA menyaksikan acara menembak pada temasya Sukan Asia ke-18 di Kompleks Sukan Menembak Jakabaring. BERNAMA
BERNAMA

PALEMBANG: Kontinjen Malaysia pada Sukan Asia Jakarta-Palembang 2018 berharap bebas daripada kesalahan doping selepas tiada daripada atletnya didapati positif dalam ujian prapertandingan yang dijalankan oleh Agensi Anti-Doping Malaysia (Adamas).

Timbalan ketua kontinjen negara (Palembang), Datuk Dr S.S. Cheema berkata menerusi ujian pintar itu, kira-kira 60 peratus daripada jumlah 418 atlet telah diuji sebelum mereka berlepas dari Kuala Lumpur.

“Semuanya negatif sebelum mereka berlepas,” kata Dr Cheema, yang juga pengerusi Jawatankuasa Perubatan dan Anti-Doping Majlis Olimpik Malaysia (MOM), kepada Bernama semasa ditemui di Lapang Sasar Menembak Jakabaring di sini, pada Rabu.

Doping yang merujuk kepada penggunaan ubat yang diharamkan sering menjadi antara kebimbangan utama selepas Malaysia diaibkan dengan penipuan doping dalam beberapa acara sukan beraneka atau multi-sports sebelum ini.

Pada April, pemenang pingat gangsa acara angkat berat Sukan Komanwel Gold Coast Mohamad Fazrul Azrie Mohdad didapati positif bagi stanozolol semasa ujian prasukan manakala pingat emas diraih penerjun negara Wendy Ng Yan Yee pada Sukan SEA 2017 ditarik balik selepas dia didapati positif bagi sibutramine. 

Pada Sukan Asia 2014,  pingat emas acara wushu dimenangi Tai Cheau Xuen turut ditarik balik selepas dia didapati menggunakan sibutramine.

Sementara itu, Dr Cheema meminta Persatuan Menembak Kebangsaan  Malaysia (NSAM) untuk melakukan kajian terhadap prestasi buruk atlet menembak dalam Sukan Asia selepas tiada seorangpun melepasi pusingan kelayakan.

“Mereka perlu pertimbangkan sama ada persekitaran dan kehadiran penembak  bertaraf dunia di sini yang menyebabkan keadaan itu kerana, semasa latihan, semua atlet menembak kita melakukan dengan baik. Kekuatan mental dan fokus amat penting dalam sukan menembak,” katanya.

Untuk rekod, dalam Sukan Asia sebelum ini di Incheon, Korea Selatan, skuad menembak Malaysia membawa pulang dua pingat perak dan satu pingat gangsa, pencapaian terbaik mereka setakat ini dalam temasya kedua terbesar di dunia itu selepas Olimpik.

“Satu hari mereka melakukan bidikan bull eye, hari esoknya bidikan mereka tersasar. Kita tidak boleh terlalu memberi tekanan kepada mereka. NSAM perlu buat post-mortem dan kenal pasti apa yang silap,” katanya.

Berhubung seorang atlet Malaysia yang mengadu sakit perut, Dr Cheema berkata: “Ia bukan kes yang serius.”

Sebanyak 96 atlet Malaysia berkampung di Palembang.

 

 

 

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 22 Ogos 2018 @ 5:10 PM
Digital NSTP Subscribe