FEDERER (kiri) dan Djokovic. Foto AFP
FEDERER (kiri) dan Djokovic. Foto AFP
AFP

NOVAK Djokovic tidak sabar membentuk gandingan impian dengan Roger Federer untuk mewakili Eropah menghadapi Pilihan Dunia di Kejohanan Piala Laver bulan depan.

Djokovic dan Federer akan menerajui pasukan Eropah pada peringkat kedua pertandingan yang akan berlangsung di Chicago dari 21 hingga 23 September ini.

Pasukan Eropah melengkapkan senarai pemain dengan menyenaraikan pemain Britain, Kyle Edmund dalam skuad yang turut diwakili Alexander Zverev dari Jerman, Grigor Dimitrov (Bulgaria) dan David Goffin (Belgium).

Pada penganjuran sulung tahun lalu, Federer digandingkan bersama Rafael Nadal dalam acara beregu buat pertama kali.

Namun ketiadaan Nadal tahun ini menyaksikan Djokovic dijangka akan bekerjasama dengan Federer.

“Saya tidak sabar untuk bergandingan bersama sekiranya ia menjadi kenyataan,” kata Djokovic yang terpaksa diketepikan tahun lalu kerana kecederaan.

Djokovic berkata, peluang menghabiskan masa bersama rakan profesional dalam suasana pertandingan berpasukan adalah sesuatu yang baik.

“Saya tidak sabar untuk menghabiskan masa bersama Federer dan semua pemain yang lain. Kehidupan menempuhi siri jelajah sangat berbeza. 

“Anda mempunyai pasukan dan sokongan sendiri. Satu-satunya acara berpasukan yang kami sertai adalah Piala Davis. Anda tidak berpeluang untuk bergaul bersama lawan kerana alasan yang jelas.

“Piala Laver adalah pertandingan menyatukan kami semua dan satu yang luar biasa untuk ditonton kerana pemain saling membantu ketika di dalam gelanggang,” katanya.

Pasukan Dunia akan diwakili oleh pemain Argentina, Juan Martin del Potro selain Diego Schwartzman, John Isner dan Jack Sock (Amerika Syarikat), Kevin Anderson (Afrika Selatan) dan Nick Kyrgios (Australia).

 

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 23 Ogos 2018 @ 10:38 AM