PEMAIN Ajax Klaas-Jan Huntelaar meraikan kemenangan ke atas Dynamo Kiev. FOTO/AFP
AFP

PARIS: Kelab gergasi Belanda Ajax semakin hampir untuk kembali menyertai peringkat kumpulan Liga Juara-Juara buat pertama kali dalam tempoh empat tahun selepas merakam kemenangan 3-1 ke atas Dinamo Kiev pada aksi pertama playoff awal pagi tadi.

Ajax, juara empat kali Eropah, menjaringkan kesemua gol mereka di babak pertama dan dua kali menyaksikan percubaan mereka terkena tiang gol di babak kedua.

Donny van der Beek meletakkan Ajax di depan hanya selepas 80 saat permainan bermula, hasil umpanan Dusan Tadic. Selang 16 minit Kiev menyamakan kedudukan menerusi Tomasz Kedziora.

Ajax kembali di depan pada minit ke-35 apabila rembatan pemain tengah Maghribi Hakim Ziyech terkena Tamas Kadar dan masuk ke gawang sendiri.

Tadic, yang ditandatangani dari Southampton pada musim panas lalu, menjadikan kedudukan 3-1 sebelum rehat selepas memanfaatkan hantaran lintang Nicolas Tagliafico.

Di Budapest, AEK Athens meneruskan rentak kemenangan pusingan kelayakan ke atas Celtic dengan mengatasi Vidi 2-1.

Vidi, yang memburu tiket ke peringkat kumpulan buat pertama kali dan menjadi kelab Hungary ketiga melakukannya, dibolosi pada minit ke-33 oleh Viktor Klonaridis, 10 minit selepas pemainnya Szabolcs Huszti dilayangkan kad merah. 

Bakasetas menjadikan kedudukan 2-0 pada minit ke-48 tetapi dibuang padang lima minit kemudian selepas mengasari Loic Nego.

Danko Lazovic merapatkan jurang untuk juara Hungary itu dengan rembatan minit ke-68.

Young Boys dan Dinamo Zagreb terikat 1-1 di Berne. Kevin Mbabu membuka jaringan untuk Young Boys pada minit kedua dan Mislav Orsic menyamakan kedudukan lima minit sebelum rehat.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 23 Ogos 2018 @ 10:57 AM