HAMADA sokong skuad negara. FOTO/FAIL
Syafiq Aznan
syafiq.aznan@nstp.com.my


‘PENYOKONG nombor satu’ skuad negara, Hiroshi Hamada percaya betapa pemain muda negara itu mampu membenam cabaran Jepun pada aksi pusingan 16 terbaik Sukan Asia Jakarta-Palembang 2018 yang akan berlangsung di Stadium Patriot Chandrabhaga, Bekasi, malam esok

Hamada yang juga Pengarah Urusan Yakult (M) Sdn Bhd itu tetap meletakkan kepercayaan terhadap kemampuan ‘negara angkatnya’ untuk melepasi halangan skuad Samurai Biru itu meskipun akan bertemu dengan tanah air kelahirannya.

Walaupun dia sendiri adalah warganegara Jepun, semangatnya tetap kepada skuad negara dengan Hamada sering hadir bersama dalam setiap perlawanan semata-mata untuk menzahirkan sokongan yang tidak berbelah bahagi kepada pasukan Malaysia.

“Saya sudah membuat keputusan untuk menyokong pasukan negara sejak kami (Yakult Malaysia) menjadi penaja rasmi bagi pasukan ini,” kata Hamada.

“Saya yakin pemain kita memiliki kemampuan untuk mencipta kejutan dengan menewaskan pasukan Jepun pada perlawanan malam esok.

“Sebagai penaja, impian saya adalah untuk melihat pasukan Malaysia beraksi di Olimpik 2020 di Jepun dan juga layak ke Piala Dunia pada suatu masa nanti.

Malah, Hamada turut optimis skuad negara dalam keadaan yang terbaik selepas mendapat bantuan nutrisi daripada Yakult Malaysia.

“Sepanjang kejohanan Sukan Asia 2018 ini berlangsung, pihak kami menghantar Yakult dari Malaysia untuk diminum oleh pemain negara

“Ini untuk memastikan kesihatan usus dan sistem pertahanan badan pemain-pemain berada pada tahap yang terbaik supaya mereka mampu memberikan aksi yang luar biasa di sini,” katanya.

Untuk rekod, Yakult adalah minuman probiotik rasmi pasukan bola sepak Malaysia dan Institut Sukan Negara (ISN) sejak 2017 yang menyaksikan 1 sen akan disumbangkan kepada pembangunan bola sepak negara bagi setiap pembelian sebotol Yakult.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 23 Ogos 2018 @ 11:41 AM