LEWIS HAMILTON

SPA-FRANCORCHAMPS: Lewis Hamilton menyambar petak pertama buat kali kelima di Grand Prix Belgium selepas mencatat masa terpantas pada sesi kelayakan yang berlangsung ketika cuaca buruk di Litar Spa-Francorchamps.

 Pendahulu kejuaraan pemandu itu mencatat masa terpantas pada pusingan terakhir ketika hujan lebat dengan catatan satu minit 58.179 saat sekali gus mengetepikan seteru utama, Sebastian Vettel dengan kelebihan hanya 0.726s.

 "Pusingan yang sangat menakjubkan. Anda benar-benar memanfaatkan peluang pada hujung sesi kelayakan," kata jurutera Hamilton, Pete Bonnington menerusi perbualan di radio pasukan.

 "Ia adalah antara sesi kelayakan yang sukar dan akan saya ingati," kata Hamilton yang meraih petak pertama untuk kali ke-78.

 Esteban Ocon pula meraih petak ketiga bersama Force India di depan rakan sepasukan, Sergio Perez dan Romain Grosjean dari Haas.

Kimi Raikkonen bersama satu lagi jentera Ferrari pada awalnya dilihat berpotensi untuk meraih petak pertama sebelum hujan lebat menyaksikannya hanya berpuas hati di petak keenam di depan Max Verstappen dan rakan sepasukan di Red Bull, Daniel Ricciardo.

 Kevin Magnussen yang beraksi bersama Haas menduduki petak kesembilan mengatasi rakan sepasukan Hamilton, Valtteri Bottas yang terpaksa berpuas hati di petak ke-10. - AFP

 

 

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 25 Ogos 2018 @ 11:20 PM