RONALDO belum raih sebarang gol dalam serie A. FOTO/AFP
AFP

TURIN: Cristiano Ronaldo masih lagi mencari peluang untuk meledak gol pertamanya di Itali namun kehadiran bintang Portugal itu berjaya membantu pasukannya meraih kemenangan 2-0 Juventus ke atas Lazio ketika barisan bimbingan Carlo Ancelotti, Napoli bangkit daripada ketinggalan untuk menewaskan AC Milan 3-2 pada aksi kedua Serie A.

Ronaldo, 33, bagaimanapun memainkan peranan membantu Mario Mandzukic menjaringkan gol kedua pada minit ke-75 selepas Miralem Pjanic menyumbat gol pertama tuan rumah di Stadium Allianz.

Pemenang lima kali Ballon d'Or itu menyertai pasukan juara Serie A dari Real Madrid dengan nilai perpindahan berjumlah 100 juta euro (RM477.6 juta).

Juve kini mencatat kemenangan dalam kedua-dua perlawanan mereka selepas sebelum ini menundukkan Chievo 3-2 di Verona.

“Apa yang seronok dari ini ialah keterujaan dan semangat dalam stadium untuk menyaksikan perlawanan pertama Ronaldo di tempat sendiri,” kata Massimiliano Allegri.

“Kami cuba memastikan ia dapat memenuhi kehendak penyokong.

“Saya gembira dengan prestasi pemain. Ini adalah perlawanan pertama menentang pasukan besar dan pemain beraksi dengan baik.

“Cristiano sudah bersama kami selama 15 hari, dia mampu untuk bertahan dan terbukti menjadi pemain yang bijak.

“Dia faham bahawa kejohanan di Itali ini jauh berbeza dengan Sepanyol dan dia juga tahu DNA Juventus.

“Semua orang menantikan gol pertamanya tapi saya gembira apa yang dia lakukan dan bagaimana dia menyesuaikan diri.”

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 26 Ogos 2018 @ 10:28 AM