NADAL (kiri) dan Serena jadi tumpuan Terbuka AS. FOTO/AFP
AFP

NEW YORK: Serena Williams melaungkan amaran awal untuk merangkul kejuaraan Grand Slam ke-24, berkongsi pentas dengan penyandang juara kategori lelaki, Rafael Nadal yang turut berentap pada malam pembukaan Terbuka AS di Stadium Arthur Ashe, hari ini.

Dua bintang tenis yang sudah memiliki 40 gelaran Grand Slam itu bakal mengetuai pemain lain termasuk lapan bekas juara yang beraksi di Terbuka AS tahun ini.

Serena mengumpul enam Terbuka AS daripada 23 kejuaraan Grand Slam dimenanginya dan jika berjaya meraih satu lagi gelaran, dia akan menyamai rekod pencapaian sepanjang zaman yang dipegang Margaret Court.

Bintang AS berkenaan melihat ini adalah peluang terbaik baginya untuk meraih gelaran Grand Slam pertama selepas melahirkan anak perempuannya, Olympia, September tahun lalu.

“Saya akan terus terus berusaha,” kata Serena, pemain pilihan ke-17 itu.

Serena mempamer aksi cemerlang selepas kembali bermain pada Mac lalu, layak ke final Wimbledon tetapi tewas di tangan pemain Jerman,  Angelique Kerber.

Dia akan membuka kempennya dengan menentang pemain Poland, Magda Linette yang menduduki ranking ke-60 dunia dan pertama kali bertemu Serena yang sudah pasti menjadi tumpuan sempena sambutan ulang tahun ke-50 Terbuka AS.

Bekas juara bertahan dan pemain nombor satu dunia, Nadal yang mengejar gelaran Grand Slam kedua selepas menang di Roland Garros, bakal beraksi dalam perlawanan penuh emosi menentang kawan lama dan rakan sepasukan di Piala Davis, David Ferrer.

“Saya anggap perlawanan ini sebagai sesuatu yang istimewa,” kata Nadal apabila ditanya mengenai pengumuman Ferrer untuk bersara akhir tahun ini.

Nadal tidak sabar untuk bermain di depan peminatnya di New York.

“Saya sentiasa mempunyai hubungan rapat dengan peminat di sini. Kehadiran orang ramai membolehkan saya beraksi ke satu tahap dan lebih bertenaga.”

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 27 Ogos 2018 @ 12:30 PM