SIMONA tewas kepada Kaia 6-2, 6-4. FOTO/AFP
AFP

NEW YORK: Pemain nombor satu dunia, Simona Halep tewas 6-2, 6-4 di tangan pemain di ranking ke-44 dunia, Kaia Kanepi sekali gus muncul pemain pilihan utama yang pertama tewas di pusingan pertama Terbuka AS.

Ia menambah derita Simona di peringkat Grand Slam apatah lagi sebelum ini dia turut kecundang di pusingan pertama di tangan Maria Sharapova di Flushing Meadows tahun lalu.

Bintang Romania yang menjulang gelaran Grand Slam pertamanya di Terbuka Perancis tahun ini, dilihat tidak mampu menandingi kepantasan yang ada pada Kaia.

Servis pemain Estonia itu sering gagal dikembalikan Simona dan tidak banyak rali yang dapat dilihat pada perlawanan itu.

“Saya hanya cuba bermain secara agresif dan bertenang,” kata Kaia yang pernah layak ke suku akhir tahun lalu.

Sementara itu, Serena yang memburu gelaran pertamanya sejak melahirkan anak perempuan, Olympia pada September lalu, mahu membuktikan dia masih berbisa dan akan menentang pemain Poland, Magda Linette.

Jika menang satu lagi Grand Slam, Serena akan menyamai rekod kemenangan terbanyak sepanjang zaman yang dipegang legenda Australia, Margaret Court.

Bagaimanapun, untuk berada di kedudukan itu, dia perlu terlebih dulu menundukkan kakaknya, Venus di pusingan ketiga nanti.

Venus mengetepikan bekas juara, Svetlana Kuznetsova, 6-3, 5-7, 6-3 manakala pemain Sepanyol Garbine Muguruza turut layak ke pusingan seterusnya selepas mengalahkan pemain China, Zhang Shuai 6-3, 6-0.

Juara bertahan, Sloane Stephens menang 6-1, 7-5 ke atas pemain Russia, Evgeniya Rodina. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 28 Ogos 2018 @ 8:17 AM