PEMAIN Sabah, Hector Omar Ramos Lebron (tengah) meraikan gol pertama ketika menentang Selangor pada aksi Piala Malaysia di Stadium Shah Alam. FOTO Nur Adibah Ahmad Izam
Zulfaizan Mansor

 

SHAH ALAM: Juara terbanyak Piala Malaysia, Selangor menjadi pasukan pertama tersingkir daripada saingan itu musim ini selepas tewas 2-1 kepada Sabah di Stadium Shah Alam, sebentar tadi.

Selangor yang juga juara 33 kali piala tertua dalam kancah liga tempatan itu gagal meraih sebarang kemenangan dalam empat perlawanan berturut-turut, sekali gus menyaksikan mereka menghuni kedudukan tercorot Kumpulan D, tanpa sebarang mata.

Bagi Sabah pula, kemenangan itu membolehkan mereka naik ke tangga teratas kumpulan selepas mengumpul 10 mata, dua mata di depan Pahang di tangga kedua.

Selepas babak pertama berakhir tanpa jaringan, Selangor yang terdesak mencari kemenangan dikejutkan dengan jaringan pembukaan pelawat menerusi Hector Omar Lebron yang menyudahkan hantaran Rodoljub Paunovic pada minit ke-52.

Tersentak dengan jaringan itu, Selangor menggandakan asakan untuk memburu gol penyamaan namun kegagalan jentera serangan yang diketuai Rufino Segovia menyudahkan beberapa peluang terhidang menyaksikan tiada jaringan dapat dihasilkan.

Sebaliknya Sabah menambah jaringan kedua menerusi percubaan jarak dekat Paunovic pada minit ke-86.

Selangor akhirnya berjaya memecah kebuntuan dalam masa kecederaan selepas Segovia menyempurnakan sepakan penalti, namun sudah terlambat untuk membuka kembali peluang Red Giants ke suku akhir.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 28 Ogos 2018 @ 11:17 PM