KAPTEN FELCRA FC, Muhammad Shahrom Abdul Kalam. FOTO PFA Malaysia
Zulfaizan Mansor


KUALA LUMPUR: Kapten FELCRA FC, Muhammad Shahrom Abdul Kalam dipilih sebagai penerima Anugerah Pemain Terbaik Liga Perdana Persatuan Pemain Bola Sepak Profesional Malaysia (PFAM) - asiana.my bagi edisi Julai.

Shahrom mendapat peratusan undian tertinggi sebanyak 40.28 peratus untuk menewaskan empat calon lain - Darren Lok (36.3 peratus), Seydi L'imam (11.79 peratus), Thiago Augusto Fernandes (11.01 peratus) dan Gilberto Fortunato (0.62 peratus).

Selaku pemenang, dia menerima sebuah trofi dan gambar sumbangan asiana.my, wang tunai berjumlah RM500 sumbangan 139associates dan MK, jersi tajaan PaddyGear, produk minuman tajaan BB7, barangan sukan tajaan AY Sports dan juga perapi rambut tajaan Major Pomade.

Anugerah dan hadiah berkenaan disampaikan sendiri jurulatih FELCRA, Tarcisio Pugliesi dan turut bersama pada majlis itu adalah penolong pengurus pasukan FELCRA, Najib Miswan; Presiden PFAM, Rezal Zambery Yahya; Setiausaha PFAM, Ahmad Fauzi Saari dan Ketua Pegawai Eksekutif PFAM, Izham Ismail.

“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada rakan sepasukan yang memberikan komitmen di atas padang dan barisan kejurulatihan serta pihak pengurusan pasukan.

“Tidak lupa juga kepada keluarga yang menyokong serta pengundi yang menzahirkan sokongan menerusi undian,” kata Shahrom.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 29 Ogos 2018 @ 1:08 AM