GOL Ronaldo ketika aksi final UCL Real menentang Juventus. FOTO/AGENSI
Agensi

LONDON: Gol ‘ajaib’ sepakan gunting Cristiano Ronaldo ketika mewakili Real Madrid menentang kelabnya ketika ini, Juventus pada aksi Liga Juara-Juara musim lalu diumumkan sebagai gol terbaik Kesatuan Bolasepak Eropah (UEFA).

Penyerang berbisa itu menyinar pada aksi pertama suku akhir Liga Juara-Juara menentang Juventus musim lalu dengan jaringannya menyaksikan Real menang 2-0 sebelum mara ke peringkat separuh akhir.

Usahanya itu, yang mendapat tepukan gemuruh penyokong Juventus di gelanggang lawan pada April mengungguli sesi undian dengan kelebihan hampir 200,000 undian daripada keseluruhan 346,915 undian.

Tahun lalu, rakan sepasukan pemenang lima kali anugerah Ballon d'Or itu di Juve, Mario Mandzukic memenangi anugerah sama berikutan jaringannya ketika final Liga Juara-Juara 2017 juga bertemu Real di Cardiff.

Gol istimewa Ronaldo itu mengetepikan jaringan menarik Gareth Bale ketika aksi final menentang Liverpool di Kiev, Ukraine malah gol pemain Wales itu langsung tidak berada dalam senarai 11 pencalonan bagi anugerah berkenaan.

Ronaldo sebelum ini menyifatkan jaringan itu sebagai yang terbaik pernah dilakukannya dan mendakwa reaksi daripada penyokong Juventus berikutan gol itu menjadi antara faktor perpindahannya ke Turin.

Selepas mengetahui berita kemenangannya itu, semalam, Ronaldo menggunakan laman sosial Instagram untuk mengucapkan terima kasih kepada peminatnya.

“Terima kasih kepada semua yang mengundi saya,” kata Ronaldo. “Tidak akan lupakan detik istimewa itu, terutama reaksi peminat di dalam stadium.” #UEFA Goal of the Season #SpecialMoment'.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 29 Ogos 2018 @ 12:05 PM