PELARI Pecut Kuartet Negara, Khairul Hafiz Jantan menamatkan larian dengan masa 39.59 saat dalam acara 4 X 100 Meter Lelaki Peringkat Saringan pada Sukan Asia Jakarta Palembang 2018 di Stadium Gelora Bung Karno. FOTO Bernama
Daripada Azidan Nahar dan Azlan Muhammad Zain

 

JAKARTA: Kuartet pecut negara layak ke final acara 4x100 meter Sukan Asia sebentar tadi seterusnya menghampiri misi memecahkan rekod kebangsaan.

Gandingan Muhammad Haiqal Hanafi, Jonathan Nyepa, Muhammad Zulfiqar Ismail dan Khairul Hafiz Jantan melakukan 39.57 saat untuk menempatkan diri dalam kalangan lapan terbaik apabila berada di tempat keempat saringan kelayakan kedua.

Bagi Khairul Hafiz, dia gembira dapat membantu rakan-rakan mara ke final dengan misi utama memadam rekod kebangsaan.

"Alhamdulillah kami ke final, memang kami ada misi untuk memadam rekod kebangsaan dan jika dapat pingat ia adalah bonus," kata Khairul Hafiz.

Katanya, ada serba sedikit kekurangan perlu diatasi mereka menjelang saingan lapan kuartet terbaik Asia esok.

Justeru katanya, dalam tempoh yang singkat itu jurulatih akan melihat kembali rakaman video untuk memperbaikinya.

Kali terakhir kuartet 4x100m beraksi di pentas final Sukan Asia ialah pada edisi 2002 di Busan, Korea Selatan menerusi Tan Kok Lim, Nazmizan Mohamad, Mohd. Zaiful Zainal Abidin dan Azmi Ibrahim yang menyaksikan mereka meraih tempat keempat dengan catatan 41.20s.

Sementara itu atlet lompat kijang, Muhammad Hakimi Ismail gagal menampilkan lompatan terbaik apabila berkedudukan ketujuh dengan jarak 16.15m.

Hakimi yang memegang rekod kebangsaan dengan 16.77m hanya melakukan lompatan terbaik 16.15m daripada keseluruhan enam lompatan.

Wakil lompat bergalah, Mohd Iskandar Alwi menamatkan saingan di tangga kesembilan dengan ketinggian 5.20m.

Dia yang memegang rekod kebangsaan dengan 5.31m gagal melepasi ketinggian 5.30m selepas tiga percubaan.

Acara lempar cakera menyaksikan Muhammad Irfan Shamsuddin melakukan lemparan sejauh 57.70m untuk kedudukan kelima daripada 11 peserta.

Irfan memulakan lemparan dengan 57.70m namun dua cubaan selepas itu dibatalkan. Tiga cubaan terakhir dia melakukan 54.13m, 55.62m dengan balingan terakhir dibatalkan.

Rekod kebangsaan milik Irfan ialah 62.55m, dicipta pada kejohanan di Austria pada tahun 2017.

 

Rekod Kebangsaan

Lompat Kijang - 16.77m - Muhammad Hakimi Ismail - Sukan SEA 2017

Lempar Cakera - 62.55m - Muhammad Irfan Shamsuddin - Kejohanan di Austria Mei 2017

Lompat bergalah - 5.31m - Mohd Iskandar Alwi - Kejohanan Olahraga Persatuan Olahraga Amatur Wilayah Persekutuan, Mac 2018

4x100m - 39.27s - Muhammad Haikal Hanafi, Jonathan Nyepa, Badrul Hisham Abdul Manap, Nixson Kennedy - Sukan SEA 2017

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 30 Ogos 2018 @ 12:02 AM