PENYERANG Nakhon Ratchasima, Shahrel Fikri Md Fauzi. FOTO Instagram Shahrel Fikri Fauzi


KUALA LUMPUR:  Penyerang Nakhon Ratchasima, Shahrel Fikri Md Fauzi tidak pernah terfikir untuk pulang lebih awal, sebaliknya akan kekal bermain di Liga Thailand sehingga akhir musim ini.

Malah Shahrel menegaskan dia kini sedang mengintai peluang untuk menyambut kontrak bersama kelab itu mahupun cuba memikat kelab lain di sana.

“Masih ada 10 perlawanan liga untuk diharungi, saya tidak akan lari atau balik awal sebaliknya mahu terus bermain di sana sehingga kontrak saya bersama Nakhon berakhir pada hujung musim.

“Saya juga akan menggunakan baki perlawanan itu untuk cuba memikat Nakhon dan kelab lain di Thailand dengan harapan dapat meneruskan karier di sana musim depan.

“Jadi, tidak timbul isu saya mahu balik awal walaupun saya akui apa yang saya tulis  melalui twitter itu adalah luahan perasaan saya. Memang saya sunyi dan rindukan keluarga tapi tidak bermakna saya mahu balik awal,” tegas Shahrel yang dihubungi Sukan NSTP melalui WhatsApp.

Shahrel yang dipinjamkan PKNP FC kepada Nakhon selama lima bulan sejak Jun lalu mencetuskan kebimbangan peminat apabila berkongsi rasa sunyi sepanjang berkelana di sana.

Menerusi entri itu, dia menulis "Bukan senang nak hidup dekat negara orang sorang-sorang. Sorang-sorang tau sorang-sorang. 

"Kawan pun tak ada, kawan cuma ada bila latihan itulah kawan sepasukan. Yang kawan sebelum latihan kawan lepas latihan kawan makan dan kawan jalan-jalan mana ada," kata bekas ketua pasukan PKNP itu.

Perkongsian itu mendapat pelbagai reaksi dengan ada yang mula membuat andaian ia sebagai petanda Shahrel akan mengikut jejak beberapa pemain seperti Nazmi Faiz Mansor, Wan Zack Haikal Wan Noor dan Nazirul Naim Che Hashim yang dilanda virus pulang awal selepas mendapat peluang bermain di luar negara.

Setakat ini  pemain kelahiran Sitiawan, Perak itu telah mengharungi lima perlawanan liga bersama Nakhon tanpa menjaringkan sebarang gol.

Begitu pun, pada 9 Ogos lalu, Shahrel menjaringkan gol sulung untuk pasukannya pada aksi suku akhir Piala Liga Thailand ketika bertemu Ranong United.

Shahrel ada antara pemain yang disenaraikan jurulatih, Tan Cheng Hoe untuk menjalani latihan bersama skuad kebangsaan menjelang aksi persahabatan menentang Taiwan dan Kemboja minggu depan.

Namun, Shahrel menyatakan ketidakpastiannya sama dapat menyertai latihan yang bermula Isnin ini kerana belum mendapat surat pelepasan daripada Nakhon.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 31 Ogos 2018 @ 2:26 PM