FATIN ketika beraksi dalam acara papan selaju Sukan Asia 2018. Foto BERNAMA
Naqib Nor Said


KECAMAN hebat netizen terhadap prestasi buruk di Sukan Asia Jakarta-Palembang, sesekali tidak akan membunuh semangat atlet papan selaju wanita negara, Fatin Syahirah Roszizi untuk mencapai kejayaan lebih bermakna dalam sukan berkenaan.

Katanya, dia bersedia untuk bangkit semula bagi menutup mulut pengkritik yang mendakwa dirinya menggunakan 'orang dalam' untuk mewakili negara ke temasya sukan itu baru-baru ini.

"Ya, saya akan teruskan karier dalam sukan ini, memang pada awalnya semangat saya sedikit luntur tetapi berkat sokongan daripada keluarga, jurulatih dan penaja (Skate4mation) dan rakan papan selaju dari setiap negara Fatin akan buktikan yang terbaik selepas ini.

"Buat masa ini, Fatin hanya akan kembali ke sekolah dan menumpukan perhatian terhadap pembelajaran dengan latihan tetap akan diteruskan pada setiap hujung minggu.

"Malah, Fatin sudah menanam janji untuk membuktikan semua tohmahan terutama diserap menggunakan 'orang dalam' itu sebagai tidak tepat," katanya ketika dihubungi hari ini.

Gadis 16 tahun itu sebelum ini diperlekeh susulan aksinya di Sukan Asia 2018 di Indonesia yang menyaksikannya berada di tempat tercorot bagi kategori wanita.

Sebuah video yang memaparkan aksinya turut menjadi tular dan menerima kritikan hebat dari netizen.

Malah, video berkenaan turut mendapat perhatian dunia luar sehingga legenda papan selaju dunia Tony Hawk memuat naik komen di Instagram memberi sokongan terhadap atlet muda negara berusia 16 tahun itu.

"Mestilah gembira bila dapat tahu ramai yang menyatakan sokongan kepada saya. Fatin percaya mereka pun pernah melalui situasi sama dan itulah yang membuatkan mereka menjadi lebih kuat," katanya ketika diminta memberi reaksi berhubung komen dimuat naik Hawk.

Mengakui agak gementar memandangkan ia adalah pentas terbesarnya setakat ini, Fatin memberitahu dia hanya mempunyai tempoh kurang dua bulan bagi menyiapkan diri untuk temasya besar itu.

Lebih memeritkan, kecederaan ligamen pada buku lali kiri yang dialaminya hanya sebulan sebelum bermula saingan itu turut menjadi punca dia tidak fokus dan gagal mampamer aksi memukau.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 1 September 2018 @ 10:11 PM