Pemain Felda United, Ahmad Syamim Yahya (kiri) mengasak pemain PDRM, Amir Saiful Badeli (kanan) pada saingan Piala Malaysia 2018, di Stadium Tun Abdul Razak, Jengka. FOTO NSTP/FARIZUL HAFIZ AWANG
Aziman Rosdi


SHAH ALAM: PKNS FC mengesahkan tempat ke suku akhir Piala Malaysia selepas menewaskan Melaka United 2-1 dalam saingan Kumpulan B di Stadium Shah Alam, malam tadi.

Kemenangan itu membolehkan PKNS mengumpul 10 mata selepas lima perlawanan mengiringi FELDA United ke peringkat seterusnya manakala Melaka United hampa tersingkir awal meskipun berbaki satu lagi perlawanan.

PKNS yang dibimbing bekas jurulatih kebangsaan, Datuk K Rajagobal mempamerkan penguasaan pada babak pertama dengan melancarkan beberapa percubaan bahaya.

Pemain import tuan rumah Romel Oswaldo yang terlepas peluang terbaik pada minit ke-19 berjaya menebus kegagalan empat minit kemudian dengan meledak gol pertama.

Satu-satunya peluang terbaik yang dihasilkan oleh Melaka United hadir di minit ke-38 namun penyerang Ifedayo Olusegun gagal menyudahkan hantaran lintang R Gopinathan.

Pasukan pelawat kemudian bangkit menyamakan kedudukan pada minit ke-54 apabila pemain sayap Syahrul Azwari Ibrahim tenang menewaskan penjaga gol PKNS Muhammad Zarif Irfan Hashimuddin.

Namun penyerang import tinggi lampai Rafael Ramazotti memastikan PKNS mendahului 2-1 dengan menanduk masuk bola sepakan penjuru Khyril Muhymeen Zambri pada minit ke-66.

Anak buah E Elavarasan cuba mencari gol penyamaan namun pasukan tuan rumah ampuh bertahan sehingga wisel penamat dibunyikan.

 

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 1 September 2018 @ 11:12 PM