PEMAIN Pahang Mathew Davies (kiri) dikawal pemain Selangor Evan Dimas Darmano dalam saingan Piala Malaysia 2018 di Stadium Darul Makmur. Foto NSTP/ZULKEPLI OSMAN


SKUAD Pahang tewas 1-3 kepada Selangor dalam aksi Kumpulan D saingan Piala Malaysia di Stadium Darul Makmur malam tadi.

Kekalahan skuad Tok Gajah itu menyekat misi menempah slot awal suku akhir Piala Malaysia dan terpaksa menunggu aksi terakhir bertemu Sabah pada 16 September ini.

Pada perlawanan itu, aksi cemerlang Red Giants dapat dilihat dengan jaringan gol pendahuluan hasil sentuhan Rufino Segovia selepas menewaskan penjaga gol, Remezey Che Ros seawal minit ketujuh.

Tersentak jaringan itu, skuad kendalian Dollah Salleh berusaha untuk mendapatkan gol penyamaan dan memberi tekanan kepada lawan.

Pada minit ke-30, pemain tengah tuan rumah, sepakan percuma Safuwan Baharudin dari luar kotak penalti memastikan skuad itu menyamakan kedudukan 1-1 dan keputusan itu kekal sehingga tamat aksi separuh pertama perlawanan.

Dua minit  bersambung babak kedua, pemain pertahanan Selangor, Willian Pacheco menjaringkan gol kedua yang meletakkan skuadnya kembali mendahului 2-1.

Pahang yang memerlukan kemenangan untuk mengesahkan slot suku akhir Piala Malaysia melakukan asakan ke kubu lawan tetapi berjaya disekat jentera pertahanan Selangor.

Pada minit ke-83, pemain gantian, R Kogileswaran menjaringkan gol kedua Pahang selepas menewaskan penjaga gol Selangor, Khairul Azhan Khalid tetapi dibatalkan kerana berada kedudukan ofsaid.

Sebaliknya, Selangor menambah jaringan ketiga menerusi  K Sarkunan untuk memastikan skuad itu pulang dengan tiga mata pada minit ke-90.

Kemenangan Selangor itu adalah yang pertama selepas mereka tewas dalam empat perlawanan berturut-turut walaupun sudah tersingkir dalam perebutan slot suku akhir piala berprestij itu.

 

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 2 September 2018 @ 12:23 AM