ANAK pemain Juventus, Cristiano Ronaldo, Cristiano Ronaldo Jr meledak empat gol pada aksi sulungnya bersama skuad bawah 9 tahun Juventus. FOTO Agensi
AFP

MILAN: Segala-galanya tidak menjadi buat bintang Portugal, Cristiano Ronaldo sejak perpindahannya ke kelab juara Itali, Juventus dari Real Madrid, musim panas ini.

Pemenang anugerah Ballon d’Or lima kali itu, yang tewas kepada bekas rakan sepasukannya Luka Modric bagi anugerah Pemain Terbaik Eropah, minggu ini terus buntu tanpa jaringan dalam aksi ketiga berturut-turut Serie A.

Selepas ‘dibebaskan’ oleh Ronaldo, Real mencipta pesta jaringan dan kini penyerang itu dibayangi oleh anak lelakinya, Cristiano Ronaldo Jr, yang meledak empat gol pada aksi sulungnya bersama skuad bawah 9 tahun Juventus.

Menggunakan nombor jersi 7 milik bapanya, Ronaldo Jr, 8, menyumbat dua gol pada setiap babak ketika menang 5-1 ke atas Lucento sambil disaksikan teman wanita bapanya, Georgina, menurut media Itali, hari ini.

Ronaldo gagal menjaringkan gol dalam tiga aksi kompetitif bersama Juve termasuk ketika menang 2-1 ke atas Parma, semalam ketika Perdana Menteri Portugal, Antonio Costa turut menyaksikannya di tempat duduk penonton.

Real dalam pada itu tidak ‘menderita’ susulan perpindahan penjaring gol terbanyak kelab itu selepas merakam tiga kemenangan daripada tiga perlawanan apabila membenam Leganes 4-1, Sabtu lalu menerusi gol Karim Benzema dan Gareth Bale.

“Tiga mata lagi! Kerjasama sepasukan yang baik,” kata Ronaldo menerusi Twitter selepas Juventus merakam tiga kemenangan berturut-turut untuk mengumpul sembilan mata maksimum.

Gol kemenangan ke atas Parma dijaringkan Mario Mandzukic dan Blaise Matuidi.

“Dia (Ronaldo) mengharungi permainan yang hebat, berusaha dengan amat keras, tapi malangnya dia tidak menjaringkan gol,” kata Matuidi.

“Dia mahu menjaringkan gol dan kami akan membantu dia melakukannya, kerana dia amat penting dalam pasukan ini.”

Jurulatih Juve, Massimiliano Allegri berkata, bola sepak Itali mencetus masalah berbeza dan Ronaldo memerlukan masa.

“Dia belum serasi dengan keadaan rumput ketika ini, bola tidak melantun dengan tepat kepadanya atau rembatannya tidak ke sasaran. Kami akan lebih segar selepas rehat dan ketika itulah musim yang sebenar akan bermula.

“Keseronokan individu akan tiba.”

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 2 September 2018 @ 10:01 PM