PEMAIN Watford, Abdoulaye Doucoure dan Etienne Capoue meraikan kejayaan selepas menewaskan Tottenham di Stadium Vicarage Road. FOTO Reuters
Agensi

LONDON: Troy Deeney dan Craig Cathcart meledak gol pada babak kedua untuk membantu Watford menewaskan Tottenham Hotspur 2-1 pada aksi Liga Perdana Inggeris di Vicarage Road, sebentar tadi.

Kemenangan menyaksikan Watford meneruskan rentak cemerlang pada permulaan musim dengan meraih empat kemenangan daripada empat perlawanan berturut-turut.

Selepas kedua-duanya buntu pada babak pertama, Tottenham yang turut memburu empat kemenangan berada di landasan apabila membuka tirai jaringan pada minit ke-53 menerusi gol Abdoulaye Doucoure ke gawang sendiri.

Begitupun, ia tidak melunturkan semangat Watford di gelanggang sendiri yang menyamakan kedudukan menerusi tandukan Deeney berpunca daripada sepakan percuma Jose Holebas pada minit ke-69.

Watford kemudian mendahului permainan tujuh minit kemudian apabila Cathcart menanduk masuk gol berpunca sepakan sudut yang juga gol pertamanya sejak 23 Januari 2016.

Penyerang England, Harry Kane yang meledak gol dalam dua perlawanan sebelum ini hampir menyamakan kedudukan pada minit ke-87 tetapi tandukannya melepasi palang.

Kali terakhir Watford menewaskan Tottenham dalam sebarang kejohanan adalah 4 Oktober 1994 selepas 13 perlawanan.

Watford kini menyertai Liverpool dan Chelsea untuk menjadi pasukan yang merasai empat kemenangan dalam kempen Liga Perdana musim ini.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 3 September 2018 @ 2:24 AM
Skip this ad x