Subahan sudah nyata pandangan. FOTO HM Digital/AFP
Saiful Affendy Sapran
saifulaffendy@nstp.com.my


SEPANG: Konfederasi Hoki Malaysia (MHC) akan mengemukakan rayuan kepada Persekutuan Hoki Antarabangsa (FIH) meminta supaya skuad hoki lelaki negara memperoleh slot automatik ke Sukan Oimpik Tokyo 2020. 

Perkara itu dimaklumkan oleh Presiden MHC, Datuk Seri Subahan Kamal selepas skuad negara tewas kepada Jepun pada aksi final sekali gus terlepas tiket automatik ke Tokyo. 

Jelas Subahan, beliau sudah pun menyatakan pandangannya itu kepada Ketua Pegawai Eksekutif FIH, Thierry Weil sebelum aksi final membabitkan Malaysia dan Jepun. 

"Dalam perjumpaan saya dengan Ketua Pegawai Eksekutif FIH, saya sudah maklumkan sekiranya Jepun menjadi juara, kalau boleh pasukan naib juara mesti diberi keutamaan untuk layak secara automatik. 

"Beliau bersetuju dengan cadangan saya dan beliau rasa memang itulah sepatutnya yang berlaku. 

"Hanya ketika ini kami perlu membawa perkara ini kepada Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC) dan kemudian perlu mendapatkan persetujuan daripada Kongres FIH yang akan berlangsung pada November," katanya. 

Jelas Subahan, bukan Malaysia saja berdepan situasi itu, malah skuad wanita India yang muncul naib juara selepas tewas kepada Jepun juga berdepan situasi sama. 

"Jepun sudah layak secara merit kerana mereka tuan rumah Sukan Olimpik. Jadi, sepatutnya slot itu diberikan kepada naib juara. 

"Saya akan mengemukakan surat rayuan kepada FIH secepat mungkin," katanya. 

Subahan mengakui pasti akan ada pihak yang mempertikaikan pendirian MHC itu. 

"Tapi inilah peluang yang kita ada dan seharusnya kita tidak lepaskan peluang ini," katanya. 

Mengikut format FIH, sekiranya Jepun muncul juara di Sukan Asia, maka kuota ke Olimpik itu akan dibawa ke kempen kelayakan ke Sukan Olimpik yang berlangsung tahun depan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 3 September 2018 @ 5:38 PM