TIGA bintang bola sepak, Mohamed Salah (kiri), Ronaldo dan Luka Modric dicalonkan dalam Anugerah Pemain Terbaik FIFA. FOTO Agensi
AFP

LONDON: Cristiano Ronaldo berdepan saingan sengit bekas rakan sepasukannya di Real Madrid, Luka Modric dan bintang Mesir, Mohamed Salah dalam usahanya menjulang gelaran keenam Pemain Terbaik Persatuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA).

Ronaldo yang kini bersama kelab Itali, Juventus adalah penjaring terbanyak di Liga Juara-Juara ketika membantu Real memenangi saingan elit itu buat kali keempat dalam tempoh lima tahun, musim lalu.

Modric juga sebahagian daripada skuad Real yang mendominasi kancah Eropah itu dan dia turut memenangi anugerah Bola Emas selaku pemain terbaik di Piala Dunia 2018 di Russia selepas membantu Croatia mara ke final.

Salah yang juga bintang Liverpool meledak 44 gol pada musim pertamanya bersama kelab Inggeris itu musim lalu.

Begitupun, selepas menjadi antara tonggak membantu Reds mara ke final Liga Juara-Juara menentang Real pada Mei, kecederaan bahu yang dialaminya di perlawanan akhir ‘meranapkan’ impiannya. 

Sementara itu, jurulatih Perancis, Didier Deschamps, pengurus Croatia Zlatko Dalic dan bekas jurulatih Real, Zinedine Zidane dicalonkan bagi anugerah Jurulatih  Terbaik FIFA.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 3 September 2018 @ 10:18 PM