STADIUM Wembley. FOTO Reuters
STADIUM Wembley. FOTO Reuters
Reuters

LONDON: Tottenham Hotspur akan mengharungi semua aksi peringkat kumpulan Liga Juara-Juara di Wembley dengan penantian mereka untuk berpindah ke stadium baharu berlarutan, kata kelab Inggeris itu hari ini.

Spurs pada mulanya dijadualkan menggunakan stadium baharu White Hart Lane yang mempunyai kapasiti 62,000 tempat duduk buat kali pertama bertemu Liverpool pada 15 September ini dalam saingan Liga Perdana.

Tetapi isu keselamatan menyaksikan pertembungan itu dan beberapa perlawanan lain terpaksa dipindahkan ke Wembley.

Skuad kendalian Mauricio Pochettino akan menanti kunjungan Barcelona (3 Oktober), PSV Eindhoven (6 November) dan Inter Milan (28 November) bagi saingan Kumpulan B di Wembley, gelanggang yang mereka sudah gunakan untuk aksi di tempat sendiri musim lalu.

Spurs juga akan melayan kunjungan Manchester City dalam Liga Perdana di stadium itu pada 29 Oktober.

Aksi itu pada asalnya akan berlangsung pada 28 Oktober, tetapi dengan Wembley akan menjadi gelanggang bagi kejohanan NFL di antara Philadelphia Eagles dan Jacksonville Jaguars, tarikh baharu terpaksa dipersetujui.

Pengerusi Spurs, Daniel Levy berkata kelab sudah melakukan segala-galanya untuk membolehkan stadium baharu digunakan secepat yang mungkin.

“Antara akibat kelewatan itu adalah kos tambahan yang besar, bukan saja keperluan untuk menyewa tempat alternatif, demi mengelak kesulitan buat peminat dan pasukan lawan,” kata Levy dalam satu kenyataan.

“Mauricio, kakitangannya dan barisan pemain, memberi sokongan luar biasa dan mahukan perubahan gelanggang dengan penuh kesungguhan. Mereka sangat menghormati saya.

“Sebaik saja kami mempunyai keyakinan terhadap kemampuan pengurus projek dan kontraktor untuk memberikan jadual kerja yang disemak semula, kami akan dapat mengeluarkan tarikh untuk acara ujian dan perlawanan pembukaan rasmi.”

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 4 September 2018 @ 12:00 AM