NAOMI OSAKA
NAOMI OSAKA
AFP

NEW YORK: Pemain Jepun, Naomi Osaka mara ke suku akhir Terbuka Amerika Syarikat (AS) – kali pertama kejohanan bertaraf Grand Slam dan mengakui dia sanggup untuk berjuang bermati-matian bagi memenangi perlawanan.

Pemain berusia 20 tahun itu menewaskan Aryna Sabalenka dari Belarus 6-2, 2-6, 6-4 bagi menjadi pemain wanita pertama Jepun mara ke suku akhir Terbuka AS sejak Shinobu Asagoe melakukannya pada 2004.

Naomi yang diletakkan sebagai pilihan ke-20 bangkit daripada ketinggalan di set terakhir untuk mengheret aksi ke penentuan dan akhirnya memenangi perlawanan.

“Saya tidak akan memaafkan diri saya jika saya tewas dalam perlawanan hari ini. Ketika saya ketinggalan di set terakhir, saya sanggup buat apa saja untuk memastikan saya dapat membalas setiap pukulan,” kata Naomi.

Kemenangan itu menyaksikan Naomi akan membuat perhitungan di suku akhir menentang pemenang perlawanan antara pemain berusia 19 tahun, Marketa Vondrousova atau pemain Ukraine, Lesia Tsurenko yang menewaskan pilihan kedua, Caroline Wozniacki di pusingan kedua.

Sementara itu, naib juara edisi 2017, Madison Keys turut mengesahkan slot ke suku akhir selepas menewaskan pemain Slovakia, Dominika Cibulkova 6-1, 6-3.

Pemain berusia 23 tahun itu akan berdepan bekas juara, Maria Sharapova atau pemain Sepanyol, Carla Suarez Navarro bagi perebutan tempat ke separuh akhir.

“Saya gembira berjaya memenangi perlawanan. Dominika adalah pemain yang baik dan biarpun saya mendahului tetapi bukan mustahil untuk dia bangkit. Jadi, saya perlu pastikan saya kekal fokus,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 4 September 2018 @ 9:40 AM