ABDUL AZIZ YEOP JAMALUDIN
ABDUL AZIZ YEOP JAMALUDIN
Syafiq Aznan


KUALA LUMPUR: Persatuan Bolasepak Perak (PAFA) mengesahkan belum ada perancangan untuk menjadikan PKNP FC sebagai pasukan pembangunan mereka mulai musim hadapan.

Perkembangan itu dimaklumkan Setiausaha Agung, Abdul Aziz Yeop Jamaludin ketika menjelaskan isu terbabit tidak pernah dibincangkan sekali gus menafikan dakwaan yang disebarkan. 

“Setakat ini memang perkara itu tiada dalam perancangan kami ketika ini, namun perlu tunggu mesyuarat Exco yang akan dijalankan dalam masa terdekat.

“Selepas itu baru kita boleh mengulas lanjut jika ada perkembangan mengenai perkara ini,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Sementara itu, pengurus PKNS FC, Mahfizul Rusydin Abd Rashid turut senada dengan PAFA ketika diminta mengulas berhubung dakwaan itu.

“Tidak benar. Ia hanya khabar angin,” katanya secara ringkas.

Terdahulu, wujud dakwaan di laman media sosial yang menyatakan PKNS FC dan juga PKNP FC akan ‘diturunkan pangkat’ menyertai Liga Perdana dan membolehkan Kelantan yang tersingkir terus kekal bersaing dalam saingan elit itu.

Jika status dua pasukan Liga Super itu ditukar sebagai kelab pembangunan, mereka tidak dibenarkan beraksi dalam saingan yang sama dengan pasukan utama sekali gus meninggalkan dua kekosongan slot Liga Super musim hadapan.

Liga Bolasepak Malaysia (MFL) juga mengesahkan mereka tidak menerima sebarang permohonan dari mana-mana pasukan untuk bertukar status kepada kelab pembangunan bagi saingan Liga Malaysia (Liga M) musim depan.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Kevin Ramalingam menjelaskan dakwaan membabitkan Selangor yang mahu menjadikan PKNS FC sebagai kelab pembangunan mereka dan PKNP FC sebagai kelab pembangunan buat Perak hanya sekadar khabar angin.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 5 September 2018 @ 2:06 PM