LEROY SANE
LEROY SANE
Agensi

MANCHESTER: Bintang Manchester City, Leroy Sane digesa oleh rakan sepasukan Jerman, Toni Kroos untuk menunjukkan lebih emosi ketika bersama pasukan.

Sane, 22, tercicir daripada skuad Piala Dunia Jerman dan turut tidak mendapat tempat dalam kesebelasan utama City yang dikendali Pep Guardiola.

Bagaimanapun, pemain yang ditandatangani dari Schalke pada tahun 2016 dengan harga 37 juta pound (RM198.5 juta) itu diberi peluang kedua berikutan kegagalan negaranya di Russia.

Dalam kenyataannya menjelang perlawanan pembukaan Liga Negara-Negara menentang Perancis di Munich, pemain tengah Real Madrid, Kroos, 28, meminta Sane untuk bangkit dan menunjukkan yang dia kecewa apabila pasukannya tewas.

“Kadang-kadang anda terasa seperti bahasa badan Leroy sama setiap masa, sama ada ketika kami menang atau kalah,” kata Kroos. “Dia perlu memperbaiki bahasa badannya.

“Dia pemain yang mempunyai semua kriteria diperlukan untuk menjadi pemain kelas dunia, tetapi kadang kala anda perlu memberitahunya untuk bermain dengan lebih baik.”

Kroos yakin kepulangan Sane, yang memainkan peranan penting dalam kejuaraan liga City musim lalu, mempunyai kualiti untuk berjaya.

Tetapi dia sedar pemain sayap itu, yang masih belum memulakan sebarang perlawanan musim ini dan langsung tidak tersenarai ketika kemenangan 2-1 ke atas Newcastle pada Sabtu lalu, perlu meningkatkan prestasinya.

Selepas menentang Perancis, Jerman akan berdepan Peru dalam aksi persahabatan sebelum Sane kembali ke Manchester.

City akan bertemu Fulham di laman sendiri pada 15 September.  

 

 

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 6 September 2018 @ 11:06 AM