SERENA WILLIAMS
AFP

NEW YORK: Pemain pilihan ke-14 dari Amerika Syarikat (AS), Madison Keys menempah slot separuh akhir tenis Terbuka AS selepas menumbangkan Carla Suarez Navarro dari Sepanyol, 6-4, 6-3, sebentar tadi.

Madison, 23, tewas kepada Sloane Stephens pada pertembungan final musim 2017.

Jadi, untuk melangkah ke pentas final sekali lagi, dia perlu menumbangkan pemain penuh kejutan dari Jepun, Naomi Osaka dalam pertembungan separuh akhir, esok.

Juara enam kali, Serena Willams pula akan berdepan pemain Latvia, Anastasija Sevastova dalam satu lagi halangan ke final.

Serena melangkah ke saingan separuh akhir dalam usahanya menjulang gelaran Grand Slam ke-24 dalam kariernya.

“Saya cuma beberapa langkah saja lagi ketika Grand Slam terakhir, jadi untuk saingan kali ini, saya tidak mahu terlalu menekan diri sendiri,” kata Serena yang tumbang kepada Angelique Kerber di final Wimbledon, Julai lalu.

“Saya tahu, sama ada di separuh akhir atau perlawanan akhir, saya perlu menempuh banyak halangan untuk muncul juara.

“Ia telah berlaku ketika di Wimbledon. Jadi, saya cuma akan menumpukan perlawanan satu demi satu,”

Dia menempah slot ke separuh akhir selepas menang 6-4, 6-3 ke atas pemain pilihan kelapan dari Czech, Karolina Pliskova.

Kemenangan itu membolehkan Serena meraih kemenangan ke-100 dalam aksi di Stadium Arthur Ashe, venue yang sama ketika dia pertama kali menjulang gelaran Terbuka AS pada 1999.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 6 September 2018 @ 11:46 AM