TERENGGANU City meraikan kejayaan bersama trofi dimenangi. FOTO/FAM
Zulfaizan Mansor


TERENGGANU City FC muncul juara Piala Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) selepas menundukkan Selangor United 2-0 pada aksi final di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, Cheras, sebentar tadi.

Kemenangan itu membuktikan isu tunggakan gaji dan pampasan kontrak yang dituntut enam pemain terhadap kelab berkenaan seperti yang diumumkan Jawatankuasa Status FAM semalam tidak merencatkan pejuangan Terengganu City merangkul kejuaraan musim ini.

Perlawanan tampak seimbang pada babak pertama dengan kedua-dua pasukan saling berbalas serangan dan percubaan terbaik Terengganu City hadir pada minit ke-29 yang menyaksikan rembatan Mohd Asysham Asri dari luar kotak penalti berjaya diselamatkan penjaga gol, Nuraizat Abdul Aziz.

Selangor United juga mendapat peluang terbaik pada minit ke-33 apabila hantaran R Thivagar disambut dengan tandukan Norhafizzuan Jailani, namun ditepis keluar penjaga gol Terenggnu City, Muslim Yusof.

Terengganu City hanya memerlukan tujuh minit selepas bersambung babak kedua untuk berada di depan apabila hantaran Khairul Ramadhan Zauwawi disudahkan Rahizi Rasib.

Khairul Ramadhan menambah gol kedua Terengganu City apabila menyudahkan sepakan penalti pada minit ke-71 susulan Ridzuan Kamis menjatuhkan Rahizi di dalam kotak penalti.

Selangor United juga mendapat beberapa peluang untuk memecahkan kebuntuan jaringan, namun Terengganu City bernasib baik apabila Muslim beraksi cemerlang mengawal gawang mereka hingga wisel penamat.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 7 September 2018 @ 12:44 AM