PEPE
PEPE

FARO, Portugal: Pertahanan Portugal, Pepe meraikan penampilan ke-100 dengan menanduk masuk gol penyamaan bagi membantu pasukannya seri 1-1 menentang naib juara Piala Dunia, Croatia pada perlawanan persahabatan awal pagi tadi.

Croatia mendahului pada minit ke-18 apabila penyerang Ivan Perisic, seorang daripada lima pemain dalam kesebelasan utama yang beraksi pada final Piala Dunia menentang Perancis, merembat kencang bola muntah melepasi beberapa pemain pertahanan Portugal.

Pepe, pemain kelahiran Brazil, yang diberikan tugas sebagai kapten bagi perlawanan itu, menyamakan kedudukan 14 minit kemudian dengan tandukan kencang susulan hantaran silang Pizzi.

Portugal merehatkan penjaring gol sepanjang zaman Cristiano Ronaldo, yang masih menyesuaikan diri susulan perpindahan dari Real Madrid ke Juventus, manakala Sergio Oliveira dan pemain kelahiran Sao Tome, Gedson Fernandes meraih penampilan sulung mereka selepas masuk sebagai pemain gantian pada babak kedua.

“Kami beraksi baik dengan ramai pemain muda cuba menunjukkan bakat mereka,” kata Pepe, 35, kepada stesen televisyen RTP.

“Saya terlalu gembira. Saya bersyukur dengan peluang dan setiap apa yang diberikan Portugal kepada saya dan saya cuba menikmati setiap saat.”

Portugal mendominasi babak kedua dan hampir memenangi perlawanan itu apabila hantaran leret Mario Rui ditampan dengan kaki oleh pertahanan Croatia, Antonio Milic sebelum terkena palang gol.

Pemain tengah Croatia, Luka Modric menerima tepukan gemuruh penonton tuan rumah apabila dia digantikan pada minit ke-55.

Penjaga gol Croatia, Danijel Subasic dan penyerang Mario Mandzukic sudah bersara daripada bola sepak antarabangsa manakala pemain tengah Ivan Rakitic direhatkan pada perlawanan itu.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 7 September 2018 @ 7:29 AM