Roberto Mancini
AFP

BOLOGNA, Itali: Roberto Mancini menjangkakan penampilan sulung yang penuh emosi sebagai jurulatih Itali pada perlawanan pertama Liga Negara Eropah bertemu Poland di Bologna, kelab yang menjadi titik permulaan karier bola sepaknya.

Bekas pengendali Inter Milan dan Manchester City berusia 53 tahun itu memulakan karier sebagai pemain di kelab Serie A, Bologna pada 1981.

Itali yang muncul juara dunia empat kali namun gagal layak ke Piala Dunia di Russia, kini berwajah baru dan akan bertemu Poland awal pagi esok sebelum berkunjung ke Lisbon menentang juara Eropah, Portugal Isnin depan.

“Saya melakukan penampilan pertama di sana pada usia 16 tahun dan kini ia menjadi permulaan kepada perlawanan kompetitif saya untuk membantu Itali meraih tiga mata penuh,” katanya.

Mancini berkata, beliau menjangkakan pertemuan sukar bertemu Poland yang dilihat mahu bangkit selepas kempen mengecewakan di Piala Dunia.

“Saingan ini agak sukar kerana di atas kertas Poland dan Portugal dilihat mempunyai kelebihan. Tiada ruang untuk melakukan kesilapan.

“Itali gagal layak ke Piala Dunia kerana kami tidak menjaringkan gol ketika bertemu Sweden pada aksi timbal balik dan kini kami perlu perlu proaktif dan agresif,” katanya.

Bekas penyerang Manchester City dan Liverpool, Mario Balotelli dijangka diturunkan bersama bintang Napoli, Lorenzo Insigne dan pemain Juventus, Federico Bernardeschi.

Bagi membantu pemain muda, pertahanan veteran Juventus, Giorgio Chiellini, 34, akan kembali membarisi skuad buat kali pertama sejak Itali tewas pada aksi kalah mati kempen kelayakan Piala Dunia.

“Pada awalnya saya tidak pasti untuk kembali, tapi semangat tinggi yang dipamerkan oleh pemain muda mendorong saya untuk kembali.

“Mereka nampak tenang dan mahu melakukan sesuatu yang baru dan enggan menoleh ke belakang.

“Ramai pemain muda berbakat yang mungkin boleh saya bantu,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 7 September 2018 @ 11:58 AM